Himpunan dataran: 14 lagi ahli Parlimen dirakam keterangan

Nik Nazmi dan Charles Santiago ketika ditemui pemberita di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin.
Nik Nazmi dan Charles Santiago ketika ditemui pemberita di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 14 ahli Parlimen pembangkang dirakam keterangan pada Isnin bagi membantu siasatan polis berhubung perhimpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 2 Ogos lalu.

Semua ahli Parlimen tersebut dilihat hadir secara berasingan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama peguam masing-masing sebelum keluar selepas selesai memberi keterangan antara 45 minit dan satu jam kemudian.

Ahli Parlimen berkenaan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), Fuziah Salleh (Kuantan), Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), William Leong (Selayang) dan Charles Santiago (Klang).

Turut dipanggil ialah Wong Chen (Subang), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Chan Ming Kai (Alor Setar), P Prabakaran (Batu), Nor Azrina Surip (Merbok) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Sementara itu, Charles Santiago berkata, tindakan tersebut merupakan satu penganiayaan terhadap mereka yang hanya cuba untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

"Saya ditanya sebanyak 48 soalan dalam tempoh lebih kurang 45 minit berkaitan perhimpunan aman. Saya difahamkan mungkin ada berkait dengan undang-undang penyakit berjangkit.

"Kita ada hak untuk pergi ke pejabat di dalam bangunan Parlimen. Tindakan seperti ini adalah salah satu cubaan mereka untuk menghalang kami daripada membuat kerja sebagai ahli Parlimen," katanya ketika ditemui pemberita di IPD Dang Wangi di sini pada Isnin.

Bagi Nik Nazmi pula, tindakan kepada mereka merupakan salah satu bentuk intimidasi daripada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak salahkan pihak polis kerana mereka cuma menjalankan tugas, tetapi tindakan intimidasi seperti ini perlu dihentikan.

"Saya minta pihak polis jangan ada 'double standard' dan siasat perhimpunan di rumah Perdana Menteri juga," katanya.