PRN Sarawak selepas proklamasi darurat dibatalkan

Kenyataan media mengenai PRN Sarawak.
Kenyataan media mengenai PRN Sarawak.
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai lalu berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pengisytiharan tersebut berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung pilihan raya umum ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan proklamasi perlu membabitkan seluruh negeri Sarawak mulai 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022,” katanya dalam kenyataan pada 2 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, satu ordinan telah dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dikenali sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324.

“Di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324, memperuntukkan bagi tempoh darurat berkuat kuasa peruntukan Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak bahawa DUN terbubar selepas lima tahun daripada mesyuarat pertamanya tidak mempunyai kesan,” ujarnya.

Pada 7 Jun lalu, DUN Sarawak sepatutnya terbubar selepas cukup lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

Bagaimanapun, peruntukan itu tidak dapat berkuatkuasa berikutan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Artikel Berkaitan: