Penganggur ditahan ugut pijak anak saudara

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seorang penganggur ditahan kerana disyaki mengugut anak saudaranya di sebuah rumah di Taman Tasik Tambahan di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pada jam 3.30 pagi itu, suspek turun ke ruang tamu dengan memegang objek besi dan cuba memijak gadis berkenaan.

"Mangsa berusia 17 tahun itu berasa takut kerana suspek menyatakan mahu memijaknya serta terdapat besi di tangan suspek.

"Mangsa juga mengesyaki suspek dalam pengaruh dadah. Mangsa datang ke balai polis membuat laporan untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, sepasukan anggota polis menahan suspek berusia 22 tahun pada jam 7.30 pagi di rumah berkenaan.

"Motif kejadian masih dalam siasatan. Suspek dipercayai dalam keadaan halusinasi semasa kejadian. Suspek dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau iaitu kesalahan Seksyen 39(A)(1), 15(1)(A) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua rekod tidak dikehendaki.

"Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek telah dijalankan, keputusannya negatif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa merupakan anak keempat daripada enam orang adik beradik.

"Mangsa masih bersekolah. Dia tinggal di rumah berkenaan bersama keluarga dan bapa saudara," katanya.

Mohamad Farouk berkata, suspek direman empat hari bermula Isnin hingga Khamis bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan ugutan jenayah," katanya.