Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dilaksana tahun depan

M Saravanan - Foto Bernama
M Saravanan - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dijangka dilaksanakan pada tahun depan.

Menteri Sumber Manusia (KSM), Datuk Seri M Saravanan berkata, ia susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai lalu yang bersetuju supaya suri rumah diberikan perlindungan keselamatan sosial.

"Buat masa ini, draf Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah sedang diperhalusi oleh KSM dan Jabatan Peguam Negara sebelum mendapat kelulusan jemaah menteri untuk pembentangan di Parlimen dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, SKSSR menyediakan perlindungan terhadap bencana domestik seperti kemalangan, penyakit ataupun kematian, dibuka kepada semua suri rumah yang dianggarkan seramai 2.99 juta orang.

"Seramai 150,000 suri rumah dari isi rumah miskin dan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) akan dilindungi oleh kerajaan, manakala bagi suri rumah yang lain penyertaan adalah secara sukarela," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan SKSSR wajar dijadikan agenda keselamatan sosial sebagai penggantian produktiviti kepada golongan suri rumah yang tidak mempunyai apa-apa perlindungan sekiranya mereka terlibat dalam bencana domestik atau mengalami keilatan yang mana sumbangan mereka mempunyai nilai ekonomi dalam pembangunan institusi kekeluargaan, ataupun the Care Economy.

"Justeru, perlindungan keselamatan sosial adalah perlu bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan suri rumah memandangkan fungsi dan tugas mereka amat penting dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan negara.

"Apatah lagi situasi pandemik Covid-19 yang membuatkan peranan dan tanggungjawab mereka semakin mencabar dengan amalan norma baharu seperti bekerja dari rumah (BDR) dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran anak-anak di rumah (PdPR)," katanya.

Artikel Berkaitan: