Pesakit Covid-19 Pulau Sebatik dipindahkan ke pusat kuarantin Tawau

Antara pesakit Covid-19 yang dipindahkan dari Pulau Sebatik ke pusat kuarantin Tawau.
Antara pesakit Covid-19 yang dipindahkan dari Pulau Sebatik ke pusat kuarantin Tawau.
A
A
A

TAWAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau memindahkan seramai 108 penduduk Pulau Sebatik yang disahkan positif Covid-19 ke pusat kuarantin di Tawau.

Pemindahan itu dilakukan hasil kerjasama Maritim Malaysia yang terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, pihaknya menyediakan khidmat pengangkutan bagi memindahkan pesakit Covid-19 dari kawasan pulau ke pusat kuarantin di Tawau.

Menurutnya, proses perpindahan melibatkan beberapa lokaliti di Pulau Sebatik iaitu Kampung Bergosong, Kampung Sungai Tongkang, Kampung Mentadak, Kampung Lahat-Lahat dan Kampung Wallace Bay.

"Pergerakan pesakit diselaraskan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengaturkan beberapa siri perjalanan mengikut jumlah kes positif di kawasan Pulau Sebatik.

"Setakat ini seramai 108 penduduk positif Covid-19 telah dipindahkan ke pusat kuarantin sejak berlaku peningkatan kes membabitkan kawasan Pulau Sebatik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, bot peronda dari Zon Maritim Tawau telah diatur gerak bagi melaksanakan penugasan itu dan setiap anggota dibekalkan dengan peralatan set pakaian pelindung diri (PPE) selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya.

"Kesemua pesakit dibawa dari Pulau Sebatik dan diturunkan di jeti Yatch Club Tawau sebelum dibawa menaiki ambulans oleh kakitangan KKM ke pusat kuarantin.

Artikel Berkaitan:

"Bantuan pengangkutan ini disediakan bagi melancarkan proses pengasingan pesakit positif Covid-19 yang akan menjalani kuarantin dan rawatan susulan di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan," katanya.