Wanita tidak mengaku pecah amanah lebih RM22,000

Seorang pembantu tadbir kewangan di sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan pecah amanah lebih RM22,000, tahun lalu.
Seorang pembantu tadbir kewangan di sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan pecah amanah lebih RM22,000, tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pembantu tadbir kewangan di sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah lebih RM22,000 tahun lalu.

Nurul Shima Mohd Jelani, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai pembantu tadbir kewangan, diamanahkan penguasaan ke atas wang hasil kutipan berjumlah RM22,234, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan tidak memasukkan wang itu ke akaun Maybank Perbandaran Negeri Selangor Darul Ehsan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah IPD dekat Taman Sungai Kapar Indah di sini antara 7 Januari hingga 14 Jun 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Aiman Abdul Rahman merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhamad Anas membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes.