Harimau Malaya tak dapat asah taring

Hasrat pasukan Harimau Malaya untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada bulan depan tidak kesampaian.
Hasrat pasukan Harimau Malaya untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada bulan depan tidak kesampaian.
A
A
A

HASRAT skuad Harimau Malaya untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa FIFA bulan depan tidak kesampaian selepas permohonan kelonggaran yang diminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, ia menyebabkan negara yang sebelum ini dalam perbincangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Harimau Malaya terpaksa membuat perancangan lain untuk pasukan mereka.

"Permohonan FAM untuk mengadakan dua perlawanan antarabangsa di negara ini yang membabitkan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe dalam tempoh jendela FIFA itu sehingga ke hari ini masih belum mendapat sebarang kebenaran atau kelonggaran yang diperlukan untuk pengendalian perlawanan antarabangsa ini.

"Oleh itu, FAM telah membuat keputusan untuk memulangkan semula tarikh bagi panggilan skuad kebangsaan, Harimau Malaya bagi jendela perlawanan antarabangsa FIFA dari 30 Ogos hingga 7 September ini kepada Liga Bola Sepak Malaysia.

"Ia bagi membolehkan MFL untuk melangsungkan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) pada tempoh tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, tiga pasukan berada dalam pertimbangan FAM bagi dua perlawanan antarabangsa pada jendela FIFA daripada 30 Ogos hingga 7 September iaitu pasukan Palestin, India dan Chinese Taipei.

Mengulas lanjut, Stuart menegaskan fokus FAM kini adalah melakukan perancangan dan persediaan awal untuk mendapatkan pasukan lawan yang baharu bagi jendela perlawanan antarabangsa FIFA berikutnya iaitu dari 4 hingga 12 Oktober 2021.

"Ia sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember ini dan juga Pusingan ketiga, Kelayakan Piala Asia 2023 bermula Februari tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"FAM juga berharap agar permohonan kali ini mendapat perhatian dan kelulusan awal daripada pihak berkuasa," katanya.