Penolong jurutera MDKS tidak mengaku salah terima rasuah

Nurul Azmunir didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin. - FOTO ROSLI TALIB
Nurul Azmunir didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penolong jurutera Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menerima rasuah RM5,000 untuk memberi nilai anggaran sebut harga projek dalam kejadian Januari tahun lalu.

Nurul Azmunir Ahmad, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, dia selaku seorang penjawat awam didakwa menerima RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 46 tahun.

Perbuatan itu diketahui berkaitan dengan tugas rasminya di MDKS iaitu memberi nilai anggaran jabatan bagi sebut harga bagi 'Kerja-kerja Membaik Pulih Catwalk Laluan Bersimen serta Kerja-kerja Berkaitan Di Kampung Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang Kuala Selangor Di Bawah Projek-projek Kecil Kampung Baru/ Bagan/ Tersusun Negeri Selangor'.

Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Kuala Selangor Utama di sini antara jam 5 dan 7 petang pada 15 Januari 2020.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Fadhil Ab Wahab mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 selain melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan dia memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhamad Anas membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 September depan.