Durian kampung setaraf musang king ke pasaran dunia

Durian kampung berkualiti tinggi di Terengganu akan dijenamakan semula bagi mengangkat martabat raja buah itu untuk dikomersialkan di peringkat lebih tinggi setanding dengan durian musang king.
Durian kampung berkualiti tinggi di Terengganu akan dijenamakan semula bagi mengangkat martabat raja buah itu untuk dikomersialkan di peringkat lebih tinggi setanding dengan durian musang king.
A
A
A

HULU TERENGGANU – Durian kampung berkualiti tinggi di Terengganu akan dijenamakan semula bagi mengangkat martabat raja buah itu untuk dikomersialkan di peringkat lebih tinggi setanding dengan durian musang king.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya mengadakan pertandingan bagi mengenalpasti buah durian bertaraf premium untuk menembusi pasaran dunia.

Menurutnya, durian baka terbaik yang terpilih akan didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Negeri sebagai variati baharu menggunakan kod nombor.

“Sebenarnya kita mempunyai banyak durian kampung berkualiti tinggi yang tidak dikenali ramai. Kalau kita tidak perkenalkan ia akan terus jadi juara hanya di peringkat kampung, oleh itu pertandingan ini adalah tepat untuk kita angkat martabat durian berkualiti ini.

“Ada beberapa variati durian yang kita kenal pasti dan dengan peningkatan kualiti dan pasaran lebih meluas ini, ia juga mampu memberi pendapatan lumayan buat pekebun-pekebun durian di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir meninjau penghakiman Pertandingan Durian Kampung Premium Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Kompleks Pertanian Ajil, di sini pada Ahad.

Dr Azman (tengah) menunjukkan durian kampung premium dan berkualiti tinggi yang dipertandingkan dalam Pertandingan Durian Kampung Premium Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Kompleks Pertanian Ajil, di sini pada Ahad.
Dr Azman (tengah) menunjukkan durian kampung premium dan berkualiti tinggi yang dipertandingkan dalam Pertandingan Durian Kampung Premium Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Kompleks Pertanian Ajil, di sini pada Ahad.

Hadir sama Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof.

Artikel Berkaitan:

Pada pertandingan itu, durian milik pekebun dari Kuala Nerus diumumkan sebagai johan yang membawa pulang hadiah tunai sebanyak RM3,000 manakala naib johan dan tempat ke tiga masing-masing dimenangi pekebun dari daerah Marang dengan hadiah RM2,000 dan RM1,000.

Pertandingan itu mendapat penyertaan melibatkan 40 jenis durian dari seluruh daerah di Terengganu dan ia dinilai oleh juri profesional diketuai Pensyarah Pusat Pengurusan Ladang Fakulti Biosumber dan Industri Makanan Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Dr Jamil Zakaria.

Bagaimanapun pertandingan tersebut tidak melibatkan kehadiran pemilik durian, kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, Dr Jamil berkata, durian kampung Terengganu mempunyai ciri-ciri durian premium yang boleh dikomersialkan ke pasaran lebih tinggi sebagaimana durian sedia ada seperti musang king dan duri hitam.

“Saya sebenarnya terkejut rupanya durian Terengganu cantik-cantik. Tengok dari segi warna dan rasanya, boleh setanding dengan jenis duri hitam dan musang king, cuma kita tidak ketengahkan,” katanya.