Tiga anggota polis tak mengaku terima suapan RM2,000

Mohamad Fazli (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin atas pertuduhan memperoleh suapan RM2,000 daripada seorang lelaki, dua bulan lalu.
Mohamad Fazli (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin atas pertuduhan memperoleh suapan RM2,000 daripada seorang lelaki, dua bulan lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menerima rasuah RM2,000 supaya tidak melaporkan kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua bulan lalu.

Lans Koperal Mohamad Taufik Abdul Aziz, 31, Konstabel Mohamad Fazli Nordin, 28, dan Konstabel Shahrul Norhan Sirhan, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama memperoleh suapan RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun.

Ia sebagai dorongan supaya tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan iaitu menjalankan aktiviti tidak dibenarkan sepanjang PKP di Lorong Haji Mughni, Kampung Jalan Kebun di sini pada 25 Jun lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mereka turut berdepan satu pertuduhan pilihan iaitu bagi kesalahan sama di lokasi, tarikh dan masa sama, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 serta melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Peguam, Tham Weng Kin, Faizah K Zaberi dan Azi Azlin yang mewakili ketiga-tiga tertuduh merayu agar anak guam mereka diberi ikat jamin pada kadar minimum atas alasan perlu menyara keluarga.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhamad Anas membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 13 September depan untuk sebutan semula kes.