22 NGO, pertubuhan masyarakat gesa adakan sidang Dewan Rakyat

Sebanyak 22 NGO dan pertubuhan masyarakat sivil menggesa sidang Dewan Rakyat untuk diadakan segera tanpa melengahkan sehingga September bagi membuktikan keabsahan sokongan majoriti yang dimiliki Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Gambar hiasan
Sebanyak 22 NGO dan pertubuhan masyarakat sivil menggesa sidang Dewan Rakyat untuk diadakan segera tanpa melengahkan sehingga September bagi membuktikan keabsahan sokongan majoriti yang dimiliki Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM- Sebanyak 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil menggesa sidang Dewan Rakyat untuk diadakan segera tanpa melengahkan sehingga September bagi membuktikan keabsahan sokongan majoriti yang dimiliki Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Gabungan tersebut dalam satu kenyataan berkata, kelewatan kerajaan mengadakan sidang Dewan Rakyat dikhuatiri akan mengheret negara kepada situasi yang lebih meruncing, khususnya yang melibatkan nyawa, kesihatan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

"Kelewatan bersidang juga bakal melahirkan situasi politik yang tidak sihat termasuklah kejadian lompat parti seperti yang biasa berlaku di negara ini.

"Situasi sebegini hendaklah dielakkan kerana ia mengalihkan perhatian pemimpin negara daripada menangani krisis-krisis yang sedang melanda.

"Pada masa yang sama, pihak kami menggesa agar semua pihak khususnya pemimpin parti politik serta penjawat awam supaya meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan," katanya pada Jumaat lalu.

Pada Rabu, Muhyiddin mengumumkan beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

Keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri juga akan ditentukan Parlimen menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September.

Dalam pada itu, mereka berkata, keutamaan kerajaan ketika ini hendaklah diberikan untuk menangani pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang membebankan rakyat sehingga menjejas kesejahteraan institusi keluarga serta menimbulkan pelbagai masalah psikologi dan sosial.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, menurut kenyataan bersama itu, pihaknya menggesa agar pemimpin dan ahli Parlimen mengetepikan perbezaan politik dan bersama-sama berganding bahu untuk menangani krisis-krisis yang melanda.

"Pihak kami sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk Malaysia dan menegaskan kesediaan berganding bahu dengan pelbagai pihak untuk menyelesaikan krisis-krisis yang sedang melanda negara," katanya.

Gabungan tersebut terdiri daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Aliran, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Cakne Rakyat Pahang, Centre for Independent Journalism (CIJ), Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Mahasiswa Roket, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK), Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI) dan Persatuan Kebajikan Aafiyah Shah Alam.

Selain itu, ia termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health), Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT), Pertubuhan Al-nur Negeri Kelantan, Pertubuhan Impian Wanita Berdaya Selangor, Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam, Projek #BangsaMalaysia, Projek Wawasan Rakyat (POWR), The Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih 2.0) dan Yayasan Atfal Jannah.