Pengarah syarikat kemuka tuntutan palsu didenda RM700,000

Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari ruang Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan didenda RM700,000 pada Isnin.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar dari ruang Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan didenda RM700,000 pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pengarah syarikat didenda RM700,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan kerja tanah projek pembinaan jalan dalam kawasan Parlimen Bera pada 2014.

Tertuduh, Lee Teh Hok, 66, berdepan hukuman penjara 12 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin, tertuduh didakwa membuat tuntutan bagi kerja tanah yang dilaksanakan syarikatnya melibatkan kawasan seluas 172,297.27 meter persegi sedangkan jumlah sebenar hanya 121,976.196 meter persegi.

Tertuduh didakwa mengemukakan dokumen palsu dalam proses tuntutan tersebut di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bera sekitar April 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pihak pendakwaan mencadangkan denda RM500,000 hingga RM1 juta dengan mengambil kira keseriusan kes dan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.

Tertuduh yang diwakili peguam, Lim Kon Keen merayu agar hukuman dikurangkan dengan mengambil kira faktor kesalahan pertama dan pengakuan tertuduh yang telah menjimatkan masa serta kos mahkamah.

Dalam rayuan itu, Kon Ken memberi alasan anak guamnya sudah bersara sejak 2018 selain menghidapi masalah kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, dia merayu agar anak guamnya tidak dipenjarakan dan hanya dikenakan denda tidak lebih RM700,000 dan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan denda RM700,000 terhadap tertuduh.