X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

2 wanita dilantik pembantu Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci

A
A

MEKAH - Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci iaitu Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais telah melantik dua wanita iaitu Dr Fatima Zaid Al-Rashoud dan Dr Al-Anoud Khaled Al-Anoud sebagai pembantu ketua presiden itu.

Dr Fatima dilantik menjadi pembantu presiden untuk hal ehwal wanita dan penasihat kepada presiden manakala Dr Al-Anoud pula dilantik sebagai pembantu presiden untuk pembangunan hal ehwal wanita.

Dalam satu langkah bersejarah untuk memberikan kuasa pentadbiran kepada wanita di Arab Saudi, Al-Sudais mengeluarkan arahan baru-baru ini untuk melantik 20 wanita yang memegang ijazah sarjana dan kedoktoran bagi memegang jawatan tinggi sekali gus membantu pentadbiran ketua presiden itu.

Selain Dr Fatima dan Dr Al-Anoud itu, terdapat dua lagi pembantu ketua presiden tersebut.

Berikutan pelantikan tersebut, bilangan wanita yang memegang jawatan pentadbiran bagi membantu presiden itu adalah yang teramai dalam sejarah negara tersebut.

Al-Sudais juga telah mengeluarkan arahan untuk memperkenalkan kedudukan pembantu wanita dalam memperkasakan golongan wanita sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberikan jawatan pentadbiran kepada golongan tersebut.

Pelantikan wanita untuk jawatan kanan di institusi keagamaan itu adalah bersesuaian dengan Wawasan Arab Saudi 2030 bagi memberikan peluang kepada wanita memberikan khidmat kepada pelawat dan jemaah di dua masjid suci tersebut. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!