Barcelona tetap bersemangat tanpa Messi

Barcelona menewaskan Juventus 3-0 pada aksi trofi Joan Gamper. -Foto EPA
Barcelona menewaskan Juventus 3-0 pada aksi trofi Joan Gamper. -Foto EPA
A
A
A

BIARPUN bakal beraksi tanpa kelibat bintang Argentina, Lionel Messi, namun gergasi La Liga, Barcelona tetap dilihat bersemangat bagi mengharungi musim baharu 2021/22 yang bakal bermula tidak lama lagi.

Perkara itu ditegaskan pengendali Barca, Ronald Koeman yang turut mendedahkan skuad Blaugrana itu akan menampilkan ramai pemain muda bagi mengharungi musim baharu nanti.

“Pemain-pemain muda ini sebenarnya adalah ‘masa depan’ untuk kelab yang hebat ini biarpun kita terpaksa ‘melepaskan’ pemain hebat seperti Messi.

“Bagaimanapun, di sebalik pemergian Messi, kita juga teruja untuk mengharungi saingan musim baharu nanti dan yakin pemain-pemain muda ini bakal ‘menyinar’ dengan memberikan lebih banyak kejayaan musim ini,” katanya.

Untuk rekod, Barcelona tidak menyambung kontrak Messi bagi musim 2021/22 dan penyerang berkenaan dijangka bakal menyertai gergasi Ligue A, Paris Saint-Germain, musim ini.

Bagaimanapun, tanpa kehadiran Messi, Barca telah menewaskan Juventus 3-0 pada aksi trofi Joan Gamper iaitu aksi persahabatan tahunan sebelum memulakan musim baharu bermula.

Sementara itu, bintang Sepanyol, Sergio Busquets terharu dengan pemilihannya selaku kapten Barcelona bagi menggantikan Messi.

Busquests turut menyifatkan pemilihannya itu sebagai satu penghormatan besar dan dia akan cuba melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

“Satu penghormatan buat saya dipilih menjadi kapten bagi kelab ini. Saya akan menjadikan kapten-kapten terdahulu seperti, Carlos Puyol, Xavi dan Leo (Messi) sebagai contoh rujukan saya.