Penyelam dikhuatiri lemas ditemui terapung

Mayat seorang penyelam ditemui terapung kira-kira 8.7 batu nautika barat daya perairan Sungai Besar di sini pada petang Ahad.
Mayat seorang penyelam ditemui terapung kira-kira 8.7 batu nautika barat daya perairan Sungai Besar di sini pada petang Ahad.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Mayat seorang penyelam yang dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti menyelam untuk menarik sebuah bot karam ditemui terapung kira-kira 8.7 batu nautika barat daya perairan Sungai Besar di sini pada petang Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, mayat mangsa, Calvin Patrick Lazaroo, 27, yang merupakan warga tempatan itu ditemui kira-kira jam 3 petang.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada nelayan tempatan yang telah menjumpai mayat terapung lengkap berpakaian penyelam berserta balang oksigen.

"Nelayan yang menemui mayat terbabit menghubungi Maritim Malaysia bagi memaklumkan penemuaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Rosli berkata, pasukan mencari dan menyelamat (Carilamat) Maritim Malaysia berserta bot pasukan Polis Marin bertindak ke lokasi kejadian bagi mengesan mayat berkenaan.

"Kira-kira jam 6 petang, kita dapati mayat itu terapung dan pasukan Polis Marin telah membawa mayat ke Jeti Nelayan Sungai Besar pada jam 9 malam sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk proses pengecaman.

"Penemuan mayat ada kaitan dengan insiden kehilangan seorang penyelam di perairan Sungai Besar pada 3 Ogos lalu," ujarnya.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan, seorang penyelam dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti menyelam untuk menarik sebuah bot karam di perairan Sungai Besar di sini pada pagi Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa disedari hilang oleh tiga rakan penyelam yang ketika itu turut melakukan selaman untuk mengikat tali pada bot milik sebuah syarikat yang karam pada 22 Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:Penyelam tarik bot karam dikhuatiri lemas