Terima kasih Azizulhasni: PKBM

Azizulhasni Awang - BERNAMA
Azizulhasni Awang - BERNAMA
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bangga dengan kejayaan jaguh lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah berkata, kejayaan Azizulhasni itu umpama satu hadiah yang cukup istimewa pada saat jutaan rakyat Malaysia masih dibelenggu dengan krisis pandemik Covid-19.

“Saya mewakili semua rakyat Malaysia ingin berterima kasih kepada Azizulhasni. Pingat perak yang dimenanginya itu sangat unik dan besar ertinya kepada semua rakyat Malaysia.

“Azizulhasni hampir menghadiahkan pingat emas. Saya harap beliau akan kembali beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris nanti,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pengurus pasukan, Datuk Ashakari Abu Noor pula menyifatkan tugasannya untuk memastikan kilauan pingat bersinar dalam kem berbasikal Malaysia di Velodrom Izu telah tercapai.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Azizulhasni tahu tugasnya... sekarang sudah terbukti. Saya sentiasa percaya beliau berkemampuan untuk membawa pulang pingat emas.

“Saya percaya Azizulhasni perlu tampil pada Sukan Olimpik 2024 di Paris nanti. Saya lihat beliau masih lagi bertenaga untuk menghadapi Olimpik Paris,” ujarnya.

Pada masa sama, Ashakari memuji persembahan seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang berjaya ke pusingan suku akhir dalam penampilan pertamanya di pentas Olimpik.

Artikel Berkaitan:

“Pujian buat Shah Firdaus kerana berjuang sehingga suku akhir. Walaupun dalam kesakitan selepas terjatuh pada pusingan pertama, beliau tetap menampilkan semangat juang tinggi,” jelasnya.