Pertikaian tak sepatutnya wujud: Shahril

Shahril
Shahril
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menyifatkan tidak wujud sebarang pertikaian sekiranya penangguhan pemilihan parti dibuat sebelum 30 Jun.

Beliau berkata, perkara itu merujuk kepada penjelasan yang dibuat Setiausaha Agung (SUA) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung kronologi penangguhan pemilihan tersebut dan diputuskan lebih awal.

Menurutnya, surat pemakluman mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) juga telah dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bertarikh 24 Jun 2021.

"Memuat naik semula kronologi isu penangguhan pemilihan UMNO yang ditulis oleh SUA setelah tular beberapa tanggapan tentang betul atau salah prosedur permohonan yang dibuat.

"Pendek cerita, jika MKT buat keputusan untuk menangguh pemilihan pada 7 Julai, ya, mungkin RoS ada sebab hendak menimbulkan isu.

"Tetapi semak penjelasan SUA di bawah. Adakah bunyinya keputusan MKT untuk menangguh pemilihan dibuat pada 7 Julai (yakni selepas tamat tempoh penggal 30 Jun)? Atau dibuat sebelum itu? Jika RoS bersetuju dengan pendirian bahawa ia dibuat sebelum 30 Jun sepertimana penjelasan SUA, maka tidak lagi timbul sebarang pertikaian,"katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Bagaimanapun beliau berkata, ruang perlu diberikan kepada peguam untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kita beri ruang kepada SUA dan peguam yang mahir dalam soal teknikal serta tafsiran peraturan untuk mengemukakan penjelasan serta dokumentasi sewajarnya apabila berjumpa dengan RoS atau sewaktu apa-apa tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, RoS memutuskan keputusan MKT UMNO 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan tidak sah berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Kemudian pada Sabtu, Ahmad menegaskan berdasarkan rentetan kronologi surat mesyuarat di antara RoS dan UMNO, wujud satu harapan yang sah oleh pihak UMNO ke atas jabatan itu untuk memperakukan penangguhan pemilihan parti.

Ros juga memperakui penerimaan surat UMNO bertarikh 24 Jun 2021 melalui surat balas daripada jabatan berkenaan bertarikh 19 Julai lalu.

"Surat itu antara lain menyatakan, RoS tidak mempunyai halangan penangguhan pemilihan UMNO dan keputusan berkenaan mematuhi pasal 10.1.6 perlembagaan UMNO.

"Keputusan mesyuarat MKT pada 7 Julai lalu yang dimaklumkan kepada pihak RoS melalui surat UMNO bertarikh 30 Julai 2021 hanyalah untuk mengesahkan keputusan MKT yang dibuat terlebih awal melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun 2021," katanya.