Paip pecah di kawasan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo

Lebuhraya Pan Borneo.- Foto Bernama
Lebuhraya Pan Borneo.- Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Pengguna di beberapa kawasan di daerah Subis dan Beluru dalam Bahagian Miri mengalami gangguan bekalan air bermula petang semalam ekoran saluran paip pecah di kawasan projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan kawasan terjejas meliputi Bukit Song, Bekenu, Bukit Peninjau, Beluru Fasa 2 dan kawasan di pesisir pantai Bekenu.

“Kerja-kerja baik pulih selesai pada kira-kira jam 2 pagi tadi. Bekalan air di kawasan terjejas akan kembali pulih seperti sediakala secara berperingkat manakala kawasan yang berada di titik hujung (end point) dan di kawasan yang berbukit berkemungkinan akan mengambil masa lebih lama untuk kembali pulih,” menurut JBALB Sarawak.

JBALB Sarawak memaklumkan pihak teknikalnya di Bahagian Miri telah mengesan dua lagi kebocoran paip berdekatan simpang Marudi, pagi tadi.

Menurut JBALB Sarawak, saluran paip milik JBALB Bahagian Miri didapati sering pecah dan mengalami kebocoran akibat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

“JBALB Bahagian Miri akan melakukan penghantaran bekalan air ke kawasan yang terjejas bagi memastikan para pengguna dapat melakukan aktiviti harian mereka sehingga kerja-kerja baik pulih selesai dijalankan oleh kontraktor pembinaan lebuh raya tersebut.

“JBALB Sarawak dan pihak Lebuhraya Pan Borneo bagaimanapun akan saling bekerjasama untuk menangani isu ini. Segala perkembangan terkini akan sentiasa dimaklumkan kepada pengguna menerusi media sosial JBALB Sarawak,” menurut kenyataan itu. -Bernama

Artikel Berkaitan: