KKM tubuh 'task force' kaji cadangan wajib vaksin

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menggerakkan satu pasukan bertindak atau 'task force' bagi mengkaji cadangan dan desakan mewajibkan suntikan vaksin di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pasukan yang diketuai Bahagian Kawalan Penyakit dan Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga kementerian itu turut disertai beberapa agensi berkaitan yang lebih komprehensif.

"Task force ini ditubuhkan selepas perbincangan dalam mesyuarat Kabinet semalam bagi menghasilkan satu kertas kerja pendirian KKM mengenai cadangan mewajibkan suntikan vaksin imunisasi di negara ini.

"Hasil kajian task force ini diharap dapat disiapkan secepat mungkin...dalam tempoh dua minggu untuk dibincangkan lagi pada mesyuarat Kabinet," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan dan International Medical University (IMU) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Pengerusi Kumpulan IMU Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman dan Naib Cancelor IMU Prof Abdul Aziz Baba.

Pada majlis itu, dua MoU ditandatangani KKM dan IMU iaitu kerjasama modul latihan dalam talian berkaitan keselamatan penyakit dan pelancaran KOSPEN-IMU.

Dr Dzulkefly berkata walaupun kementerian cenderung agar kewajiban vaksin dapat dilaksanakan untuk kebaikan semua pihak namun pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk sudut undang-undang.

Beliau berkata perkara mengenai penggubalan atau penambahan rang undang-undang dalam akta sedia ada bagi mewajibkan vaksin itu akan turut dibincang pada mesyuarat kabinet nanti.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian akan menambah baik program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) yang wujud sejak 2013 susulan peningkatan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) seperti hipertensi dan diabetis.

Antara perkara yang akan diberi perhatian ialah kesihatan mental dan kanser dalam kalangan rakyat, katanya. - Bernama