Kakitangan, ahli keluarga warga Karangkraf jadi korban Covid-19

Allahyarham Zariman (kiri), Allahyarham Rosli (kanan)
Allahyarham Zariman (kiri), Allahyarham Rosli (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Wabak Covid-19 yang semakin mengganas di negara ini memberi kesan kepada warga Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd yang turut kehilangan tiga kakitangan dan ahli keluarga dalam tempoh dua hari berturut-turut kerana menjadi korban akibat jangkitan virus berkenaan.

Pada Sabtu, anak lelaki tunggal, Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang, Muhammad Nur Hafizal, 27, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya setelah dilaporkan kritikal pada lewat petang.

Hashim berkata, beliau menerima panggilan daripada pasukan perubatan Hospital Putrajaya memaklumkan anaknya perlu ditidurkan kerana kekurangan oksigen.

Menurutnya, ketika menerima khabar tersebut, beliau sebenarnya sedang menguruskan hal kematian dua kakitangan Ultimate Print Sdn Bhd (UPSB), anak syarikat Kumpulan Karangkraf, juga meninggal dunia pada Jumaat kerana Covid-19.

“Sebelum Maghrib, pasukan perubatan Hospital Putrajaya memaklumkan arwah kritikal dan nazak.

“Tidak lama saja kemudian, ketika saya mahu menunaikan solat Maghrib, sekali lagi saya dapat panggilan yang anak saya pergi buat selama-lamanya. Pinjaman selama 27 tahun telah dikembalikan kepada Sang Pencipta,” katanya berkongsi cerita ketika majlis bacaan Yasin secara maya pada Sabtu.

Dua kakitangan UPSB yang meninggal dunia pada Jumaat adalah Penyelia Logistik UPSB, Allahyarham Rosli Mat Yusof, 49 dan Penolong Operator UPSB, Zariman Alias, 41.

Allahyarham Rosli yang telah berkhidmat selama lebih 18 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak (empat hasil perkahwinan terdahulu).

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Zariman pula yang masih bujang telah berkhidmat selama lebih 16 tahun, dan meninggal dunia ketika tempoh kuarantin di rumah, di Taman Medan.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah.