Covid-19: Pasar Besar Alor Setar henti sementara operasi

Mohd Fauzi menunjukkan notis penutupan operasi yang ditampal di laluan masuk Pasar Besar Alor Setar di sini.
Mohd Fauzi menunjukkan notis penutupan operasi yang ditampal di laluan masuk Pasar Besar Alor Setar di sini.
A
A
A

ALOR SETAR - Operasi Pasar Besar Alor Setar dihentikan sementara selama empat hari bermula Ahad selepas beberapa peniaga dan pekerja disahkan positif Covid-19.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad berkata, arahan penutupan pasar itu dikeluarkan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu.

Menurut beliau, susulan itu Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memutuskan agar saringan ujian Covid-19 dapat dilakukan dalam kalangan peniaga dan pekerja di situ.

"Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah telah ke pasar berkenaan untuk melakukan saringan ujian Covid-19 pagi Sabtu, namun tidak mendapat sambutan di mana hanya beberapa orang sahaja yang melakukan saringan terbabit.

"Penutupan pasar ini dilakukan atas nasihat KKM bagi mengekang penularan Covid-19 dan melakukan proses sanitasi di pasar besar itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Operasi Pasar Besar Alor Setar dihentikan sementara selama empat hari bermula Ahad selepas terdapat peniaga dan pekerja positif Covid-19.
Operasi Pasar Besar Alor Setar dihentikan sementara selama empat hari bermula Ahad selepas terdapat peniaga dan pekerja positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip berkata, pihak MBAS melakukan proses sanitasi sebanyak dua kali iaitu pada petang Sabtu dan petang Ahad.

Menurut beliau, sebagai peniaga beliau memahami kesukaran kelangsungan lebih 400 peniaga dan pekerja di pasar itu yang terjejas teruk ketika pandemik Covid-19.

"Sekarang hanya kira-kira 300 peniaga dan pekerja sahaja yang masih beroperasi di situ, apabila diarahkan tutup, barang-barang akan rosak menyebabkan peniaga mengalami kerugian.

"Bagaimanapun kami akur dan berharap ramai peniaga dan pekerja akan memberi kerjasama untuk melakukan saringan," katanya.

Katanya, beliau berharap JKN akan memberi perhatian untuk menyegerakan suntikan vaksin kepada peniaga di pasar berkenaan berikutan majoriti mereka di situ belum divaksin.