Penjawat awam, penuntut IPT ditahan jual air ketum

Ayob Khan menunjukkan suspek yang terlibat dengan penjualan air ketum yang ditumpaskan polis menerusi serbuan di Segamat.
Ayob Khan menunjukkan suspek yang terlibat dengan penjualan air ketum yang ditumpaskan polis menerusi serbuan di Segamat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan empat individu termasuk dua penjawat awam dan seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dipercayai menjual air ketum dalam tiga serbuan di sekitar daerah Segamat pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka dipercayai meraih pendapatan untuk dua minggu sebanyak RM9,000 dan sebulan kira-kira RM18,000.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama, seorang penjawat awam bersama pelajar IPT masing-masing berusia 39 dan 22 tahun ditahan bersama sejumlah rampasan air ketum.

"Ujian saringan mendapati penjawat awam terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

"Susulan daripada serbuan itu, polis seterusnya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun bersama sejumlah rampasan air ketum," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Ahad.

Daun ketum yang dirampas hasil daripada serbuan di sekitar Segamat pada 2 Ogos lalu.
Daun ketum yang dirampas hasil daripada serbuan di sekitar Segamat pada 2 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Ayob Khan berkata, polis seterusnya melakukan satu lagi serbuan di sekitar Segamat dan menahan seorang lagi penjawat awam berusia 43 tahun bersama sejumlah daun dan air ketum.

"Hasil daripada ketiga-tiga serbuan itu polis merampas 80 kilogram (kg) daun ketum dan sembilan liter air ketum dengan jumlah rampasan RM890.

"Hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam aktiviti memasak air ketum untuk dijual kepada pelanggan di sekitar kawasan Segamat," katanya.

Tambahnya, kesemua suspek direman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.