Elak main politik, fokus lawan Covid-19: Mustapa

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

PASIR MAS - Semua pihak diseru supaya tidak bermain politik dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan sebaliknya fokus membantu kerajaan melawan jangkitan pandemik Covid-19 ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekiranya masih ada dalam kalangan ahli politik yang mempertikaikan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), mereka diminta bersabar dan menunggu sidang Parlimen pada 6 September depan.

"Pada sidang itu usul undi percaya kepada kerajaan akan dibentangkan di Parlimen, jadi ketika itu buktikanlah sokongan kepada kerajaan atau sebaliknya.

"Jadi, sementara itu kita berharap semua pihak redakanlah isu berkenaan dan hentikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan projek perlaksanaan segera bagi menangani bencana runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi pada Ahad.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Hanifa Ahmad, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha.

Menurut Mustapa, melihat kepada situasi ketika ini rata-rata rakyat mengharapkan kerajaan terus memberi tumpuan menguruskan dan mencari jalan terbaik dalam melawan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, kestabilan politik amat penting kerana ia akan menjadi penentu kepada masa depan negara untuk tempoh akan datang.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, Malaysia sangat dikenali sebagai sebuah negara yang menikmati kestabilan politik sejak penubuhan negara.

Artikel Berkaitan:

"Malah di dunia, Malaysia seringkali dikenali sebagai negara yang mempunyai kestabilan politik yang tidak dapat dipertikaikan.

"Jadi kita perlu kembalikan kestabilan politik ini," katanya.