Kilang kertas kitar semula tidak cemar Sungai Langat

LUAS memantau kualiti air pada kolam takungan berdekatan sebuah kilang kertas kitar semula di Kuala Langat.
LUAS memantau kualiti air pada kolam takungan berdekatan sebuah kilang kertas kitar semula di Kuala Langat.
A
A
A

KUALA LANGAT - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati kualiti air di dalam kolam takungan berdekatan sebuah kilang kertas kitar semula di sini berada dalam keadaan baik dan tidak tercemar.

Siasatan di lokasi tersebut dibuat susulan aduan diterima LUAS pada April lalu.

LUAS menerusi satu kenyataan berkata, siasatan pada bulan sama juga mendapati Indeks Kualiti Air (IKA) di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang di hulu premis tersebut berada dalam keadaan baik iaitu Kelas II dan tiada gangguan terhadap abstraksi muka sauk bekalan air.

Menurut kenyataan itu, siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mendapati pelepasan efluen dari premis tersebut tidak memasuki kolam takungan.

"Pemeriksaan lanjut JAS pada Jun lalu mendapati pelepasan efluen perindustrian premis tersebut mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 selaras Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pemeriksaan terhadap premis berkenaan juga dijalankan sekurang-kurangnya tiga kali oleh JAS bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan.

Bacaan IKA di Sungai Langat pada Julai lalu menunjukkan peningkatan kepada 81 berbanding pada tahun 2020 iaitu bacaan sebanyak 72.
Bacaan IKA di Sungai Langat pada Julai lalu menunjukkan peningkatan kepada 81 berbanding pada tahun 2020 iaitu bacaan sebanyak 72.

"IKA Sungai Langat terkini pada Julai 2021 menunjukkan peningkatan kepada 81 berbanding pada tahun 2020 iaitu bacaan sebanyak 72," kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, LUAS memaklumkan bahawa hasil siasatan dan penemuan tersebut turut dibincangkan bersama JAS, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) serta wakil daripada Gabungan Lestari Alam Kuala Langat (GLAM).

Ujarnya, kualiti sumber air dan aktiviti persekitaran di Lembangan Sungai Langat yang berpotensi menyebabkan pencemaran dan menjejaskan muka sauk bekalan air akan dipantau dari semasa ke semasa.

"LUAS juga mengambil maklum akan beberapa penemuan dan aktiviti lain di lokasi sekitar dan kawasan berkaitan yang mana berpotensi menjadi penyumbang kepada penurunan kualiti air Sungai Langat berdasarkan laporan khas daripada sebuah portal berita.

"LUAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan dalam Seksyen 79, Enakmen LUAS 1999," katanya.