Kluster Guntur: 192 penduduk orang asli Kampung Guntur disaring

Saringan Covid-19 dilakukan di Kampung Guntur, Batu Kikir di Kuala Pilah pada Jumaat. Foto: PKD Kuala Pilah
Saringan Covid-19 dilakukan di Kampung Guntur, Batu Kikir di Kuala Pilah pada Jumaat. Foto: PKD Kuala Pilah
A
A
A

KUALA PILAH - Seramai 192 penduduk di Kampung Orang Asli Guntur, Batu Kikir di sini menjalani ujian saringan Covid-19 pada Jumaat.

Ia berikutan terdapat 12 kes positif wabak berkenaan melibatkan Kluster Guntur.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, kesemua yang disaring menjalani kuarantin di rumah masing-masing sementara menunggu keputusan ujian.

"Secara keseluruhannya, ujian saringan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Kesemua sampel berjaya dikumpulkan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah.

"Sepanjang operasi saringan ini, Jabatan Penerangan daerah turut membuat rondaan sambil membuat hebahan untuk mengajak penduduk hadir ke balai raya kampung tersebut bagi menjalani saringan. Malah, tiga pasukan ditubuhkan untuk pergi dari rumah ke rumah bagi tujuan sama," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pasukan khas turut ke rumah penduduk untuk maklumkan ujian saringan. Gambar: PKD Kuala Pilah
Pasukan khas turut ke rumah penduduk untuk maklumkan ujian saringan. Gambar: PKD Kuala Pilah

Mohd Faizal berkata, bantuan makanan basah berupa sayur, ayam dan ikan disumbangkan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, manakala beras disumbangkan Pejabat Parlimen Kuala Pilah.

Menurutnya, sumbangan itu diberikan terus sejurus selesai sampel diambil.

Artikel Berkaitan:

"Operasi saringan tamat pada jam 7 petang. Semua peralatan balai raya dan lokasi telah dinyahkuman oleh pasukan kawalan vektor PKD Kuala Pilah," jelas beliau.

Pada Khamis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan bahawa terdapat kluster baharu di daerah ini iaitu Kluster Guntur.

Kes indeks bagi kluster berkenaan merupakan seorang lelaki berusia 62 tahun yang dilaporkan positif pada 3 Ogos lalu, hasil saringan individu bergejala pada 2 Ogos.