Rosni letak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN

Rosni Sohar
Rosni Sohar
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosni Sohar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai Sabtu.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selaras dengan peletakan jawatan Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

“Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Noraini kerana memberi peluang untuk saya berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN.

“Saya sebagai ahli MKT UMNO turut setia dan patuh atas ketetapan yang telah dibuat parti.

“UMNO merupakan parti keramat yang memperjuang dan mendukung titah Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan seperti yang termaktub dalam asas serta tujuan UMNO mengikut Fasal 3,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Rosni yang juga Setiausaha Wanita UMNO turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan PTPTN atas kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan beliau.

Pada Jumaat, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi serta-merta berdasarkan keputusan MKT UMNO pada 3 Ogos lalu yang menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan: