Tabiat simpan barang lusuh punca aedes

Kawasan rumah milik warga emas yang dipenuhi sampah kitar semula dan barang lusuh diserbu pihak penguatkuasa.
Kawasan rumah milik warga emas yang dipenuhi sampah kitar semula dan barang lusuh diserbu pihak penguatkuasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Barang lusuh dan sampah kitar semula menimbun dengan keadaan tidak terurus sehingga dikesan menjadi punca habitat nyamuk aedes di Kampung Pasir Penambang.

Begitulah keadaan rumah yang didiami seorang warga emas yang bergantung dengan hidup hasil jualan barangan kitar semula untuk menampung makan dan minum.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata, hasil pemeriksaan mendapati hampir keseluruhan rumah warga emas terbabit dipenuhi barang lusuh dan barang kitar semula.

“Warga emas ini menyara hidup melalui hasil jualan sampah kitar semula dan kebanyakannya disimpan di rumah sehingga menyebabkan terdapat takungan air yang boleh mengundang nyamuk untuk membiak.

“MDKS mengambil inisiatif melakukan pembersihan dan membayar semula barang kitar semula yang diambil mengikut harga pasaran kerana barang lusuh yang boleh dikitar semula hanya seberat 100 kilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena operasi pembersihan tempat berpotensi wabak denggi selepas dilaporkan 13 kes di kawasan Kampung Bagan Pasir Penambang itu.

Terdahulu katanya, MDKS mengeluarkan notis di bawah Seksyen 82 Kacauganggu Mengakibatkan Nyamuk Aedes kepada seorang pemilik rumah yang melakukan penyimpanan barang lusuh di dalam kawasan kediaman.

arga emas dinasihatkan supaya membersihkan kawasan rumah yang sebelum ini dipenuhi sampah kitar semula dan barang lusuh kerana dikhuatiri menjadi habitat nyamuk aedes.
arga emas dinasihatkan supaya membersihkan kawasan rumah yang sebelum ini dipenuhi sampah kitar semula dan barang lusuh kerana dikhuatiri menjadi habitat nyamuk aedes.

“Operasi di premis ini merupakan kali kedua dilakukan dan tindakan sitaan serta merta dikenakan kepada pemilik rumah setelah notis amaran yang dikeluarkan pada 13 Januari lalu tidak diendahkan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam operasi itu, sebanyak tiga tong roro digunakan untuk pembersihan di kediaman ini dan warga emas dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor.

“Kes ini dirujuk kepada JKM untuk proses kaunseling dan bantuan yang boleh disalurkan dari segi kebajikan warga emas itu pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Operasi yang dijalankan ini turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor, JKM Daerah Kuala Selangor, Combi Daerah Kuala Selangor dan pihak polis.

Rahilah turut menasihatkan orang ramai supaya memberi kerjasama bagi bersama menjaga kebersihan persekitaran dalam dan luar rumah sebagai usaha membendung wabak denggi di daerah ini.

“Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MDKS secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi 0332891439,” katanya.