STEM Discovery jalinkan hubungan sekolah dan UTHM Pagoh

A
A

STEM Discovery jalinkan hubungan sekolah dan UTHM Pagoh

DR MOHD ASRUL AFFENDI, UTHM

PERKEMBANGAN Sains dan teknologi adalah pemangkin dalam membina generasi dari akar umbi untuk melahirkan produk negara yang lebih matang dan berdaya saing. Namun sejauh mana pendekatan ini diberikan tumpuan kepada pelajar di pinggir bandar untuk memahami serta mengenali apa yang diuar-uarkan mengenai program Science,Technology, Engineering & Mathematics (STEM)?

Penempatan Universiti Tun Hussien Onn (UTHM), Kampus Pagoh telah membuka ruang dan memberi sejuta signifikasi dalam mendekatkan sekolah di kawasan Pagoh dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan UTHM. Ini adalah salah satu usaha untuk memberi ruang kepada pelajar sekolah di daerah Pagoh mendapat pelbagai manfaat dengan adanya program bersama universiti. Justeru, pelbagai program jalinan universiti dengan sekolah telah dan akan di adakan supaya ilmu sains dan teknologi dapat disampaikan dengan menyeluruh kepada warga sekolah.

Fakulti Sains Gunaan & Teknologi, telah mengadakan program STEM Discovery ini bagi pelajar sekolah menengah di sekitar Pagoh. Tujuan program ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar khususnya sekolah di daerah Pagoh bagi meminati bidang sains dan teknologi serta secara tidak langsung memberi input dalam anjakan paradigma kepada pelajar ini terhadap bidang sains dan teknologi.

Program yang dianjurkan dengan gabungan idea dan cadangan Dr. Hamizah Safuan dari Jabatan Matematik dan Statistik dan Dr. Faridah Kormin, Jabatan Teknologi dan Sumber Semula Jadi telah memberi impak dan aplikasi kepada pelajar yang mengikuti program ini. Aplikasi sains, matematik dan kejuruteraan serta pengkomputeran telah menarik minat pelajar terhadap pembelajaran sains dan teknologi dan menolak tanggapan bahawa sains dan teknologi itu sukar untuk dipelajari. Aktiviti yang dijalankan dapat menarik minat para pelajar kerana aplikasi yang ditunjukkan kepada pelajar sekolah ini adalah melibatkan aplikasi dalam seharian.

Program seperti ini, telah memberi signifikan yang mendalam dalam usaha jalinan universiti dan sekolah serta komuniti setempat berkaitan tentang ilmu sains dan teknologi yang tidak ditelan zaman, malah makin berkembang mengikut peredaran masa yang sentiasa berdetik. Aktiviti yang melibatkan aplikasi kehidupan seharian ini, telah mendapat reaksi positif kepada guru serta pelajar, malah diberi cadangan untuk perkasakan lagi program seperti ini dengan lebih meluas ke sekolah pedalaman sekitar Pagoh khususnya.

Justeru, program ini sedikit sebanyak meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru sekolah. Selain itu, perancangan yang bermula dari akar umbi perlu dititik berat telah mendapat maklum balas dari guru-guru sekolah yang mana kemungkinan penilaian bebas kepada pelajar melalui program seperti ini dapat dilaksanakan melalui kitaran peningkatan yang berterusan. Program ini juga membantu dalam merapatkan jurang etnik dan jantina serta merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan peranan dan minat minoriti pelajar perempuan dalam bidang berkaitan STEM. Dari pengamatan yang dibuat, bagi bersaing dalam ekonomi global, pendidikan dan kerjaya STEM harus menjadi keutamaan negara dalam melahirkan generasi yang berimpak dalam sains dan teknologi menjelang 2050.

Program di luar sekolah boleh membantu pelajar melihat STEM adalah lebih daripada satu masalah untuk diselesaikan. Ini kerana, aktiviti yang didedahkan kepada mereka ini adalah melibatkan implikasi dalam kehidupan seharian. Ini dapat menarik idea-idea yang dibentangkan di sekolah serta membantu menunjukkan bagaimana mereka dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara kita secara keseluruhan. Pelajar dapat melihat bahawa apa yang mereka alami dan pelajari adalah berkaitan dengan masa depan mereka dan kemajuan dalam pembangunan negara bagi menimbulkan minat yang menjadi kekurangan ketika mempelajari konsep-konsep baru yang pada kebiasaannya tidak membawa kepada aplikasi dunia yang nyata.

Oleh itu, pendidikan STEM adalah mekanisme pengajaran dan pembelajaran yang akan menjadi pemacu dalam bidang ilmu pengetahuan, teknologi, teknikal dan matematik. Sejak kebelakangan ini, pendidikan STEM telah mendapat perhatian yang serius dan diakui secara meluas sebagai salah satu peringkat utama dalam ilmu pengkomputeran yang menjadi anjakan informasi dalam bidang pendidikan. Salah satu fokus pendidikan STEM, adalah seperti sekolah STEM atau STEM dalam sekolah merupakan proses yang terkandung dengan dengan 'interdisplinary'. Ini dapat direncanakan melalui pelbagai program kerjasama hubungan antara sekolah dan universiti secara kolaboratif atau koperatif secara berkelompok dalam usaha untuk meningkatkan ilmiah STEM ini dengan lebih meluas.