Guru, AKP digesa dapatkan vaksin melalui 'walk-in' kumpulan khas

Mohd Radzi
Mohd Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyeru guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pekerja perkhidmatan sokongan untuk segera mendapatkan vaksin Covid-19 secara 'walk-in' bagi kumpulan khas yang disenaraikan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, perincian mengenai pemberian vaksin secara 'walk-in' bagi kumpulan khas sekolah di bawah KPM termasuk keperluan dokumen sokongan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Usaha untuk memastikan mereka yang berada dalam ekosistem pendidikan di sekolah menerima vaksin akan terus dipergiatkan melalui Pasukan Petugas Khas KPM-CITF,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.

Pada Sabtu, CITF memaklumkan tentang inisiatif pemberian vaksin secara 'walk-in' ke seluruh negara untuk kumpulan khas iaitu warga emas, orang kelainan upaya (OKU), individu dengan komorbid berusia 18 tahun dan ke atas, individu yang terlepas suntikan dos kedua serta guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan KPM.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, mengikut rekod KPM sehingga 7 Ogos 2021, seramai 352,649 orang guru (85.41 peratus), 52,256 orang AKP (77.69 peratus) dan 54,930 orang pekerja perkhidmatan sokongan termasuk operator bas atau van sekolah (46.64 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Bagi guru kelas peperiksaan pula adalah seramai 84,995 orang atau 94.89 peratus.

“Marilah sama-sama kita menjayakan program vaksinasi negara bagi membawa Malaysia keluar daripada kemelut pandemik Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan: