Pengurusan mayat pesakit Covid-19 di ibu negara teratur

Datuk Dr Aminuddin Hassim ketika membuat pemantauan pengurusan pengebumian jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selaseh hari ini. - Foto Bernama
Datuk Dr Aminuddin Hassim ketika membuat pemantauan pengurusan pengebumian jenazah Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selaseh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, pengendalian mayat pesakit Covid-19 di sekitar ibu negara ketika ini adalah teratur dan terurus, tidak seperti dakwaan sesetengah pihak di media sosial yang menyatakan sebaliknya.

Beliau berkata, Pusat Sehenti Sementara (Pusara), yang berfungsi menguruskan mayat pesakit Covid-19 Islam dan bukan Islam serta terletak berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) diwujudkan bagi memastikan perkara itu.

Aminuddin berkata, terdapat lima kontena yang boleh memuatkan 225 mayat pada satu-satu masa di Pusara ketika ini diuruskan kira-kira 70 petugas dan sukarelawan.

“Dalam satu hari, kita boleh keluarkan dalam 50 mayat untuk diproses serta dituntut keluarga dan setiap hari, kita dapat memastikan bahawa data dapat dikumpul, mayat dapat diuruskan dengan lebih teratur serta bersepadu,” katanya selepas meninjau urusan pengebumian 18 jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Lebuhraya KL-Karak, Taman Selaseh pada Sabtu.

Beliau berkata, pusara, yang mula beroperasi pada akhir Julai lepas, merupakan inisiatif bersama pelbagai agensi seperti Nadma, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, HKL dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Aminuddin berkata, Pusara turut menyediakan kemudahan permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 NADMA sekali beri sehingga RM5,000 kepada waris si mati yang meninggal dunia berkaitan jangkitan virus itu.

Beliau turut mengulas komen negatif sesetengah pihak berhubung penggunaan pengorek kaut dalam urusan penggalian kubur bagi pengebumian jenazah pesakit Covid-19.

“Bagi yang meninggal akibat Covid-19, kalau boleh kita tidak mahu jenazah terdedah dalam masa yang lama di luar, sebab itu kita pastikan apabila sampai di kawasan ini (kubur), dalam masa tiga minit ia sudah berada di dalam liang lahad dan ditutup, itu prosedur operasi standard,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Aminuddin menyampaikan bantuan makanan kepada beberapa penggali kubur dan menyatakan bahawa pihaknya juga mendapatkan input daripada Jawi berhubung keperluan serta kebajikan petugas yang menguruskan jenazah pesakit Covid-19 untuk disampaikan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.

Ketika ini, terdapat 113 petugas dalam Pasukan Pengurusan Jenazah Khas Covid-19 di hospital dan pusat perubatan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan yang merangkumi 74 kakitangan Jawi, 21 kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan 18 kakitangan Kor Agama Angkatan Tentera.

Petugas sukarelawan pula terdiri daripada 37 penggali kubur dan 54 pemandu kenderaan yang membawa jenazah. - Bernama