Libatkan semua, jangan pilih bulu politik tangani Covid-19

Jomo dalam Webinar Perdana bertajuk 'Cara Keluar Kemelut Pandemik Covid-19' anjuran Jabatan Pascasiswazah, Penyelidikan dan Perundingan,USAS yang diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom dan Facebook, pada Sabtu.
Jomo dalam Webinar Perdana bertajuk 'Cara Keluar Kemelut Pandemik Covid-19' anjuran Jabatan Pascasiswazah, Penyelidikan dan Perundingan,USAS yang diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom dan Facebook, pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Pemerintah negara perlu melibatkan pandangan dan saranan semua pihak tanpa memilih bulu politik dalam usaha menangani pandemik Covid-19.

Penasihat Penyelidik Institusi Penyelidikan Khazanah, Profesor Emeritus Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, sikap terbuka itu perlu agar negara mempunyai pelan sokongan lain yang berkesan dalam mencari jalan keluar selepas hampir dua tahun dibelenggu wabak berkenaan.

Menurutnya, seperti dilakukan kebanyakan negara luar, mereka dapat mengawal keadaan wabak secara lebih baik kerana pemerintahan yang meluas melibatkan setiap peringkat untuk sama-sama memikirkan masalah demi kepentingan masa depan.

"Penglibatan keseluruhan pemerintahan itu penting tetapi malangnya kita di sini tahu siapa yang dapat jadi menteri dan sebagainya itu atas sebab yang bukan-bukan dan lebih malang ahli politik yang ada lebih memikirkan bagaimana nak pegang kuasa atau rampas kuasa.

"Sepatutnya jika kita punyai satu pemerintahan yang berkebolehan, terbuka dan telus, saya rasa pendekatan seumpama itu jauh lebih berkesan dalam keadaan negara semacam ini.

"Kerana itu saya katakan dalam soal menangani wabak Covid-19 ini, kita jangan pilih bulu politik, sama ada daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH) semua patut terlibat sama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Webinar Perdana bertajuk 'Cara Keluar Kemelut Pandemik Covid-19' anjuran Jabatan Pascasiswazah, Penyelidikan dan Perundingan, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom dan Facebook, pada Sabtu.

Jomo berkata, mengambil contoh Korea Selatan yang melibatkan semua kementerian dan pimpinan dalam menangani Covid-19 telah membolehkan negara itu melakukan perubahan dalam sistem pentadbiran dan rakyatnya dapat terus bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi apa yang kita sedang buat, masih mengharapkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan polis sehingga merasakan perkara yang dipanggil SOP (prosedur operasi standard) itu satu peraturan untuk dikuatkuasakan.

"Bukan tidak bagus, tetapi selain daripada usaha pemulihan, kita juga memerlukan reformasi untuk mengubah dasar-dasar sedia ada supaya masalah yang sedang dihadapi ini dapat diatasi dan membawa kesejahteraan kepada semua," katanya.

Beliau berkata, kemampuan pemerintah untuk menggubal dasar-dasar yang tepat dalam menangani Covid-19 masih lemah menyebabkan negara sukar mencari jalan keluar daripada wabak itu.

Katanya, dasar-dasar yang diperkenalkan itu antaranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seolah bersifat gelombang dan sebahagiannya pula saling bercanggah hingga menimbulkan kekeliruan rakyat.

"Hari ini ada PKP, bulan depan tiada PKP selepas tiga bulan kemudian PKP pula seolah bersifat gelombang ada naik turun naik turun.

"Ada juga dasar-dasar yang bercanggah, ada yang kata boleh dan tidak boleh dan sebagainya. Oleh itu tidak menghairankanlah bahawa pemerintahan ini kurang berkesan dalam menghadapi wabak Covid-19.

"Keyakinan orang ramai terhadap pemerintahan itu penting, jika kepercayaan sudah hilang, sukar sekali kita nak buat pemerintahan berterusan yang berkesan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!