15 individu termasuk pelajar ditahan ketika leka berparti, khayal

Seramai 15 individu termasuk empat pelajar ditahan selepas dipercayai mengadakan ‘private party’ dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Seksyen 7, pada Sabtu.
Seramai 15 individu termasuk empat pelajar ditahan selepas dipercayai mengadakan ‘private party’ dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Seksyen 7, pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menahan 15 individu termasuk empat pelajar selepas dipercayai mengadakan ‘private party’ dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Seksyen 7 di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, serbuan pada jam 1.30 pagi itu dijalankan selepas polis menerima aduan orang awam.

Menurut beliau, individu yang ditahan melibatkan 11 lelaki dan empat wanita warga tempatan berumur antara 16 hingga 20 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis merampas satu peket dadah dipercayai ganja.

"Hasil ujian saringan yang dijalankan mendapati lapan lelaki positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), amphetamine, methamphetamine dan benzo.

"Semakan juga mendapati tiga lelaki mempunyai rekod kesalahan jenayah dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Baharudin berkata, siasatan mendapati individu yang menganjurkan 'private party' tersebut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan bekerja sebagai penghantar makanan.

"Unit kondominium tersebut disewa oleh salah seorang suspek dengan kadar RM200 semalam dan semua suspek berhubung menggunakan aplikasi WeChat.

Artikel Berkaitan:

"Semasa serbuan, semua suspek sedang duduk dan terdapat suspek yang berada dalam keadaan khayal disyaki bawah pengaruh dadah dan keletihan selepas berparti sejak jam 9 malam," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman tiga hari.

"Sebanyak 15 kompaun telah dikeluarkan kerana gagal mematuhi SOP di bawah Peraturan 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atas kesalahan menghadiri aktiviti berkumpul dengan kehadiran yang ramai sehingga sukar untuk melaksanakan penjarakan fizikal yang mana masing-masing dikompaun sebanyak RM2,000 seorang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.