X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Tiada sambutan secara bersemuka rai Hari Kebangsaan

Ahmad Samsuri
A
A

KUALA TERENGGANU - Sambutan Hari Kemerdekaan yang akan berlangsung bulan ini akan diraikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu tiada acara dijalankan secara bersemuka.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, sambutan yang akan diraikan bertepatan dengan SOP dan sejajar dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengawal penularan Covid-19.

"Kerajaan negeri merakam penghargaan kerana dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tahun ini.

"Bagaimanapun, kita memutuskan untuk tidak melakukan acara sambutan secara fizikal bagi mematuhi SOP yang digariskan seterusnya mengelak penularan Covid-19," katanya ketika berucap sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, semangat yang ditonjolkan pahlawan Melayu tersohor antaranya Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh wajar dicontohi serta dijadikan inspirasi tatkala negara kini berperang dengan virus yang tidak kelihatan pada mata kasar.

Katanya, semangat juang luar biasa dalam diri pahlawan dahulu demi menuntut kemerdekaan harus dijadikan inspirasi setiap individu untuk melawan Covid-19.

"Perjuangan kedua-dua tokoh ini bersama tokoh yang lain menjadi penguat semangat kita untuk terus berjuang termasuk menentang Covid-19 yang kini menjadi ancaman bukan sahaja kepada Malaysia, bahkan seluruh dunia.

"Usaha ini tidak akan berjaya sekiranya tugas memerangi dan memutuskan rantaian wabak tersebut diserahkan kepada petugas barisan hadapan semata-mata.

"Tugas ini memerlukan kita mengambil semangat yang pernah dipupuk pada zaman pembentukan negara iaitu ketika negara berusaha membebaskan diri daripada cengkaman penjajah," katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri menyifatkan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin memberi pengertian besar kepada seluruh rakyat khususnya di Terengganu.

"Kerajaan sentiasa berusaha dengan penuh keprihatinan yang tinggi untuk membantu rakyat dalam kesusahan dengan memberi bantuan melalui pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi, kesihatan dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

"Namun, dalam masa yang sama kita semua perlu berganding bahu bersama kerajaan dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!