Pengurusan kurang baik punca isu sampah plastik gagal ditangani

Pengurusan sampah plastik yang kurang baik menjadi antara punca utama isu sampah plastik di negara ini masih tidak dapat ditangani hingga ke hari ini. Gambar hiasan. - Foto Bernama
Pengurusan sampah plastik yang kurang baik menjadi antara punca utama isu sampah plastik di negara ini masih tidak dapat ditangani hingga ke hari ini. Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Pengurusan sampah plastik yang kurang baik menjadi antara punca utama isu sampah plastik di negara ini masih tidak dapat ditangani hingga ke hari ini.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail berkata, pengurusan dan pengasingan sampah plastik perlu dilakukan dari rumah sebelum dipungut oleh lori sampah dan dibawa ke tapak pelupusan sampah.

"Selama lebih 10 tahun saya terlibat dalam penyelidikan pencemaran plastik, saya lihat antara punca utama masalah pencemaran adalah bermula daripada pengurusan barang plastik di rumah selain tidak berdisiplin menguruskannya.

“Apabila lori sampah datang memungut sampah, mereka tidak akan mengikut pengasingan jenis sampah kerana sampah-sampah tersebut akan terus dihantar ke tempat pelupusan sampah.

"Sekarang ini kita lihat ramai yang membuat pembelian dalam talian dan banyak plastik telah digunakan untuk membalut produk terutama barangan mudah pecah, namun kita terlupa bagaimana untuk meletak atau menguruskan plastik bungkusan tadi termasuk gelembung-gelembung plastik yang telah digunakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam seminar Kempen Konservasi Alam Sekitar dan Pengurusan Sampah Plastik Berkesan di Bagan Datuk menerusi aplikasi Webex pada Sabtu.

Ahmad berkata, sekiranya sampah plastik tidak diurus dengan baik, ia akan mewujudkan sebuah pulau sampah plastik di tengah lautan akibat bawaan air hujan ke sungai dan kemudian mengalir ke laut.

Justeru, beliau menyeru semua lapisan masyarakat supaya menguruskan barang plastik dengan baik dan tidak membuangnya di merata-rata tempat bagi menjaga ekosistem hidupan laut.

Artikel Berkaitan:

"Sampah-sampah yang berada di tepi pantai bukan sampah dari laut namun ia adalah sampah dari daratan yang dibawa oleh aliran sungai sehingga mengalir ke kawasan perairan laut dan ke pantai semula. Sebab itu di tepi pantai banyak botol-botol plastik kerana kita tidak menguruskan plastik dengan betul yang akan memberi ancaman kepada sistem hidupan laut.

"Setiap individu perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dan memahami bahaya pencemaran plastik untuk mengelakkan pencemaran ini terus berlaku terutama di lautan. Sekiranya kita terpaksa membawa pulang sampah plastik ke rumah, kita perlu menguruskannya dengan baik," katanya.

Ahmad berkata, antara kaedah terbaik yang perlu dilakukan ialah mengamalkan kitar semula dengan mengasingkan barang plastik dan dihantar ke pusat kitar semula atau diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan.

Media melaporkan Malaysia berada di kedudukan kelapan antara 10 negara teratas di dunia yang menghadapi isu sampah tidak terurus. - Bernama