JVIP pilihan untuk pekerja industri divaksin segera: MB Johor

Hasni berucap merasmikan Pembukaan Persidangan Virtual Dewan Muda Johor 2021 yang diadakan secara maya, pada Sabtu.
Hasni berucap merasmikan Pembukaan Persidangan Virtual Dewan Muda Johor 2021 yang diadakan secara maya, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Program vaksinasi berbayar yang diperkenalkan iaitu Johor Vaksin Immunisation Programe (JVIP) adalah khusus untuk sektor industri atau syarikat yang mahu menyegerakan suntikan kepada pekerja.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, tujuannya bagi membolehkan syarikat atau kilang mereka beroperasi, namun tidak diwajibkan kerana pemberian vaksin menerusi program awam tetap berlangsung termasuk pekerja dalam sektor berkenaan.

"Terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat bahawa jika mahu segera mendapatkan suntikan vaksin mereka perlu bayar sedangkan perkara itu tidak tepat.

"Sebagai sebuah negeri industri, adalah penting Johor untuk menyuntik pekerja termasuk warga asing kerana kita juga memahami keperluan syarikat multinasional agar mereka dapat beroperasi walau dalam tempoh pandemik ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pembukaan Persidangan Virtual Dewan Muda Johor 2021 yang diadakan secara maya pada Sabtu.

Hasni berkata, kerajaan negeri Johor telah memulakan JVIP pada Jumaat dalam usaha untuk mencapai imuniti kelompok sekali gus dapat mempercepat pemulihan ekonomi negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan beberapa pihak termasuk KPJ Healthcare dan Pharmaniaga untuk memulakan program vaksin berbayar, bukan melalui program vaksin awam.

"Bermakna program vaksin berbayar ini hanya kepada industri yang memerlukan pekerja mereka divaksin segera dan ia bukan sesuatu yang diwajibkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, mana-mana syarikat atau pemain industri sama ada daripada kategori 'essential' atau 'non-essential' yang mahu menyegerakan suntikan pekerja mereka boleh berbuat demikian menerusi program itu.

"Jadi saya berharap masyarakat di luar sana tidak terkeliru dengan program ini seolah-olah kerajaan meminta mereka membayar untuk mendapatkan suntikan vaksin, tidak bukan begitu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Johor masih berada dalam kategori Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara kerana beberapa faktor antaranya jumlah kes harian yang masih melebihi 400 kes dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) yang melebihi 70 peratus.

Daripada faktor suntikan katanya, Johor telah melepasi syarat diperlukan untuk memasuki fasa dua iaitu perlu melebihi 17 peratus penduduk dewasa lengkap menerima suntikan vaksin mereka.

"Namun begitu kerajaan negeri komited untuk memastikan kita berada di landasan terbaik untuk memulihkan semula sektor ekonomi demi kesejahteraan rakyat," katanya.