'Tindakan MP UMNO letak jawatan tidak bertanggungjawab'

Mahathir Rais
Mahathir Rais
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan beberapa ahli Parlimen UMNO yang meletakkan jawatan sebagai menteri dan melepaskan jawatan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilihat tidak bertanggungjawab dan bermotifkan kepentingan peribadi.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Mahathir Rais berkata, beliau juga menyifatkan ketidakpuasanhati UMNO atau lebih tepat sebahagian pimpinan utama UMNO bukanlah kerana pembahagian jawatan tetapi lebih kepada kepentingan peribadi kepimpinan utama parti itu yang terlibat dengan kes-kes mahkamah.

"Adakah parti UMNO sudah tidak dapat diselamatkan lagi sehingga sanggup membiarkan pemimpin mereka memecahbelahkan perpaduan politik Melayu yang tidak pernah dinikmati oleh negara sebelum ini semata-mata kerana mahu merampas kuasa dan mengelak dari ke penjara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mahathir, tindakan segelintir ahli Parlimen UMNO yang diberi amanah dan tanggungjawab bertindak meninggalkan jawatan di waktu sukar semata-mata atas alasan bermotifkan politik dan membelakangkan kepentingan rakyat memburukkan lagi keadaan ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

"Bayangkanlah dengan pasukan barisan hadapan kita yang berhempas pulas siang dan malam menghadapi penularan wabak ini dengan pasukan perubatan, doktor dan jururawat bertarung dengan masa untuk menyelamatkan pesakit.

"Ada yang keletihan kerana bekerja dalam tempoh yang lama. Tidak kurang juga, kakitangan perubatan yang jatuh sakit dan terkena wabak yang tidak berperikemanusiaan ini," katanya.

Dalam pada itu, Mahathir turut mempersoalkan adakah mereka sanggup menggadaikan penyatuan bangsa Melayu dan agama Islam yang pertama kali dalam sejarah bergabung membentuk sebuah pakatan besar ini demi mengikut telunjuk pemimpin parti yang hayat politik mereka boleh diibarat bagai telur di hujung tanduk.

Beliau berkata, dalam Islam, jika berlaku peperangan, pemimpin adalah merupakan benteng serta kekuatan kepada barisan tentera.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi, jika mereka takut lalu melarikan diri semasa di dalam peperangan itu ia adalah penghinaan kepada ALLAH SWT dan Islam," katanya.

Dalam masa sama, Mahathir turut mengingatkan ahli Parlimen UMNO yang terlibat bahawa perbuatan mereka telah mengingkari Institusi Diraja dan dari segi hubungan dengan rakyat, perbuatan mereka boleh disifatkan sebagai satu pengkhianatan.

ARTIKEL BERKAITAN:Noraini umum letak jawatan, patuh keputusan UMNO

ARTIKEL BERKAITAN:Shamsul Anuar letak jawatan menteri