DPIM gesa kerajaan perketat undang-undang sensitiviti agama

Muhamad Amin Fahmi, Setiausaha Agung DPIM
Muhamad Amin Fahmi, Setiausaha Agung DPIM
A
A
A

DPIM memandang serius berkenaan insiden sesetengah pihak yang berani mengeluarkan kenyataan umum menghina Nabi SAW seperti yang tular di media sosial mutakhir ini.

DPIM berpendapat perkara seumpama itu tidak seharusnya berlaku di kalangan masyarakat majmuk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum yang jelas boleh membawa implikasi negatif terhadap keharmonian institusi kenegaraan.

DPIM mengutuk sekeras-kerasnya perilaku pihak yang biadab menyentuh hal ehwal agama Islam dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan pihak yang sengaja mencetuskan suasana tegang di antara agama.

Sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang menaungi pedagang Muslim di Malaysia, DPIM khuatir seandainya perbuatan terkutuk tersebut tidak dipandang dan diambil tindakan serius oleh pihak kerajaan, suasana huru hara boleh tercetus. Lebih ironi ekosistem perdagangan turut terjejas kesan daripada insiden tersebut.

Seharusnya sifat saling menghormati disemai di kalangan masyarakat Malaysia dan sewajarnya mengiktiraf Nabi SAW sebagai insan agung buat ummat Islam. Nabi SAW adalah lambang ketinggian nilai Islam yang seharusnya tidak diganggu oleh mana-mana pihak hingga boleh menyebabkan kesucian agama Islam tergugat. Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Dunia juga mengiktiraf agama Islam. Negara Eropah, misalnya, melihat perkara yang menyentuh soal sensitiviti agama sebagai sesuatu keadaan yang melampaui batas hak bersuara. Ini jelas bahawa soal agama merupakan perkara yang tidak wajar disentuh oleh sesiapa jua. Apatah lagi menghina.

DPIM meminta kerajaan supaya cakna dan bersikap proaktif terhadap sikap pihak yang sentiasa mengambil kesempatan dengan sengaja mencetuskan keadaan ketidakpuasan hati ummat Islam.

DPIM menggesa kerajaan supaya meneliti semua peruntukkan undang-undang yang sedia ada khususnya yang berkaitan dengan sensitiviti agama, ketenteraman dan keharmonian masyarakat untuk diperkemas agar penguatkuasaan dan pelaksanaan hukuman yang lebih berat ke atas pihak yang cuba mengganggu gugat keharmonian dan kerukunan negara Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Mengambil pendekatan berhikmah, DPIM dengan ini mempelawa masyarakat untuk lebih mengenali Nabi SAW yang merupakan role model yang terbaik untuk semua lapisan masyarakat contohi. Dalam konteks perniagaan, Nabi SAW merupakan seorang pedagang yang berurusan dengan pelbagai kaum dan ragam yang sentiasa mengutamakan muamalah yang adil dan saksama tidak kira latarbelakang agama pedagang dan pembeli.

DPIM mengajak masyarakat Malaysia untuk saling menghormati agama Islam agar keharmonian dan kemajmukan atas prinsip agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia dapat dijaga bersama dan keluhuran perlembagaan dapat dimartabat demi memastikan kestabilan dan keseimbangan hubungan sesama masyarakat terus muhibbah.

*Muhamad Amin Fahmi, Setiausaha Agung DPIM