Pergolakan politik: Jangan mangsakan bidang pendidikan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KEMELUT politik negara tidak menunjukkan keadaan reda walaupun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan komitmen untuk melaksanakan usul Undi Percaya (VoC) di Dewan Rakyat pada pada sidang yang akan datang September ini.

Sepatutnya keputusan ini diterima oleh semua pihak dan memberi fokus kepada menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh negara sekarang.

Tindakan dua menteri dari UMNO meletakkan jawatan sebagai Menteri sebelum hari pengundian usul ini telah memberi kesan kepada rancangan dan dasar-dasar yang telah ditetapkan di kementerian.

Hari ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad telah meletakkan jawatan serta merta yang alasan patuh kepada arahan parti.

Peletakan jawatan ini sudah pasti memberi kesan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia. Sudah pasti Datuk Seri Noraini telah menggariskan banyak dasar dan hala tuju yang baik demi kecemerlangan Pendidikan Tinggi negara.

Masa kini, tempoh pembukaan semester baharu di IPT yang tidak lama lagi memerlukan hala tuju dan petua daripada peringkat Menteri. Memang diakui keputusan boleh dibuat oleh pengurusan tertinggi walaupun ketiadaan seorang menteri, namun ianya pasti hanya meneruskan langkah yang pernah dibuat sebelum ini.

Kekangan, halangan dan ketidakberkesanan pembelajaran dalam talian oleh pelajar harus diberi tumpuan sebaik mungkin. Rata-rata para pelajar IPT telah merungut dan sudah mula bosan dengan pengajian dalam talian.

Mereka berpendapat, sudah masanya IPT perlu dibuka semula untuk proses pengajian secara bersemuka dilangsungkan. Hal-hal kebajikan pelajar yang masih dibelenggu kesukaran. Hal ini tidak dinafikan, sudah pasti kualiti pembelajaran secara bersemuka lebih berkualiti berbanding dalam talian.

Meninggalkan posisi sebagai menteri secara mengejut juga menjejaskan pelantikan beberapa Naib Canselor di beberapa Universiti awam seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Semua pihak maklum bahawa peranan seorang Naib Canselor di universiti amat penting bagi membawa dan menggariskan hala tuju dan dasar sesebuah universiti.

Walaupun pihak menteri telah melantik seorang Timbalan Naib Canselor bagi menjalankan tugas dan fungsi Naib Canselor, namun ianya bukanlah seorang yang mampu membuat dasar baharu dan hanya menjadi penggerak universiti secara statik sahaja.

Terdapat kenyataan sebelum menyatakan proses temubual telah dijalankan dan sudah pasti pelantikan Naib Canselor kepada kedua-dua universiti ini akan tertangguh.

Sekiranya berlaku pertukaran kepada menteri yang baharu, berkemungkinan besar calon yang telah disenarai pendek akan berubah. Hal ini kerana, keputusan dan kuasa melantik seorang Naib Canselor itu terletak pada seorang Menteri.

Bidang Pendidikan tidak harus dimangsakan dan diheret ke kancah politik. Pendidikan adalah masa depan negara yang perlu diberikan perhatian sepenuhnya dan bukannya kepada parti sahaja.

Benar, dengan politik yang meletakkan seseorang itu di posisi Menteri, tetapi harus diingat, kepentingan rakyat adalah tanggungjawab lebih besar berbanding tanggungjawab kepada parti.

Pergolakan sebegini seharusnya boleh dielakkan seandainya ahli politik bijak berpolitik dengan berpolitik pada waktu yang betul, bukannya pada waktu yang salah.

*Dr Muhammad Azwan Sulaiman ialah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA

Artikel Berkaitan: