X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Bulan Kebangsaan, kibarkan Jalur Gemilang dilancar di seluruh negara

Bendera Jalur Gemilang menghiasi sekitar Jalan Ampang sempena sambutan bulan kemerdekaan ketika tinjauan pada Sabtu. - Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Walaupun pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tidak dapat diadakan seperti tahun-tahun sebelum ini kerana ancaman pandemik Covid-19, kehangatan dan momentum sambutannya masih dirasai setiap lapisan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pelancaran sambutan peringkat kebangsaan yang pada mulanya dirancang diadakan di Terengganu terpaksa diubah ke Wisma Berita, Angkasapuri di Kuala Lumpur, yang diadakan secara maya dan tertutup dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Ia dimulakan dengan segmen wawancara bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah bertajuk ‘Semarak Sambutan Bulan Kebangsaan dan Jalur Gemilang’, diikuti ucapan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku penganjur bersama pelancaran tersebut.

Segmen diteruskan dengan Ekspresi Merdeka yang sekali lagi menampilkan Saifuddin bagi mengupas topik ‘Kibaran Jalur Gemilang’ sebelum Amanat Perdana oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10.30 pagi yang disiarkan menerusi semua stesen penyiar termasuk laman Facebook Merdeka 360, Jabatan Penerangan Malaysia dan RTM Klik.Sementara itu, di JOHOR, sebanyak 150 Jalur Gemilang diagihkan kepada masyarakat di daerah Mersing bagi menyemarakkan semangat patriotisme.

Program anjuran Jabatan Penerangan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Persatuan Nelayan Mersing itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib secara sederhana mengikut norma baharu.

Alwiyah berkata, 50 daripada Jalur Gemilang itu turut diserahkan kepada komuniti nelayan di daerah itu untuk dikibarkan sebagai simbol semangat patriotik dan rasa cinta kepada negara.

Di MELAKA, rakyat negeri itu diseru untuk bersama-sama menzahirkan semangat patriotik melalui kibaran Jalur Gemilang di setiap premis kediaman, pejabat mahupun kenderaan masing-masing.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya menggalakkan penganjuran aktiviti kemerdekaan secara dalam talian dalam tempoh pandemik ini bagi mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Semangat kemerdekaan ini perlu kita garap menjadi inspirasi dalam memelihara kerukunan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya di negeri ini," katanya pada Majlis Amanat Penjawat Awam sempena sambutan program pelancaran itu bagi peringkat negeri Melaka secara dalam talian menerusi laman sosial Facebook rasminya.

Di GEORGE TOWN pula, beberapa program telah direncana sebagai pengisian utama dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan sempena Bulan Kemerdekaan di Pulau Pinang mengikut kesesuaian norma baharu semasa tempoh pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengibarkan Jalur Gemilang ketika melepaskan para peserta konvoi Info On Wheels (IOW) sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 peringkat negeri di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pada Sabtu. - Foto Bernama
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengibarkan Jalur Gemilang ketika melepaskan para peserta konvoi Info On Wheels (IOW) sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 peringkat negeri di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pada Sabtu. - Foto Bernama

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, antara program yang telah dirancang ialah pemasangan bendera di premis-premis, Info on Wheels (IOW) dan juga penyerahan Jalur Gemilang yang akan diadakan di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti.

Di KOTA KINABALU, Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah berkata, kempen Jalur Gemilang di negeri itu turut diselitkan dengan kempen Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui IOW bagi memberi maklumat tepat kepada penduduk berkaitan vaksinasi.

Nadzerah berkata, pada masa sama sepanjang kempen kibar Jalur Gemilang yang bermula Sabtu, Jabatan Penerangan Sabah turut mengadakan beberapa program termasuk komuniti merdeka, pidato kenegaraan dan pertandingan keceriaan hingga September ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!