Melaka rancang program vaksinasi penggiat pelancongan

Sulaiman (kanan) berkesempatan melawat PPV Al-Alami di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, pada Sabtu.
Sulaiman (kanan) berkesempatan melawat PPV Al-Alami di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri akan menyegerakan perancangan program vaksinasi kepada pengiat pelancongan sebagai persediaan sebelum sektor pelancongan Melaka beroperasi semula.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kumpulan pemain industri pelancongan tidak pernah dipinggirkan atau ketinggalan dalam program vaksinasi kerana mereka merupakan barisan hadapan yang berperanan mengaktifkan semula sektor pelancongan negeri.

Menurutnya, program vaksinasi khas membabitkan golongan itu akan dilaksanakan tidak lama lagi, sebelum sektor pelancongan dibuka semula kepada pelancong sekali gus dapat menambahkan keyakinan pelancong.

"Hotel-hotel dan industri pelancongan pun dah minta (program vaksinasi), malah nama-nama mereka yang layak telah pun dihantar, cuma tunggu kelulusan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Program vaksinasi kumpulan itu sedang kita usahakan, kita mesti bersedia bila dibuka esok (kelak) industri perlancongan sudah bersedia, agar tidak terlewat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Al-Alami di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, kerajaan negeri juga telah memaklumkan kepada Perdana Menteri untuk memberikan kelonggaran kepada Melaka dalam merancakkan sektor pelancongan dengan membuka pintu kepada pelancong yang selesai dua dos vaksinasi sekiranya kebenaran rentas daerah dan negeri dibenarkan kelak.

"Itu salah satu cara untuk meningkat dan memulihkan industri pelancongan di Melaka, bagaimanapun kita masih di fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu saya minta ia dinilaikan semula agar kelonggaran serta kelayakan kemudahan itu juga dapat diberikan kepada Melaka," katanya.