Serang dua pekerja pasar mini gara-gara cemburu

Rakaman CCTV menunjukkan lelaki tersebut menyerang salah seorang pekerja pasar mini berkenaan pada Jumaat.
Rakaman CCTV menunjukkan lelaki tersebut menyerang salah seorang pekerja pasar mini berkenaan pada Jumaat.
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki bertindak menyerang dua pekerja sebuah pasar mini selepas cemburu teman wanitanya ditegur salah seorang pekerja berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian dilaporkan berlaku jam 1.30 tengah hari pada Jumaat sebelum laporan polis dibuat 5.44 petang hari sama.

Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca apabila pengadu yang juga pekerja stor berusia 20 tahun itu menegur seorang wanita yang dilihat berdiri berhampiran premis berkenaan.

Katanya, mangsa menyuruh wanita itu untuk berteduh kerana berdiri di tempat panas.

"Wanita itu telah mengadu kepada teman lelakinya yang secara tiba–tiba datang ke arah pengadu dan terus menyepak kepala pengadu dan menendang seorang lagi rakan pengadu di bahagian dada.

"Selepas kejadian, lelaki tersebut terus beredar. Punca kejadian disyaki berlaku salah faham antara pengadu dan teman lelaki wanita tersebut," katanya menurut kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat tular satu rakaman video berdurasi satu minit dan satu saat memaparkan seorang lelaki dilihat menyerang dua pekerja pasar mini yang sedang berehat di luar premis.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Jalan Intan, Taman Perwira, Gombak.

Artikel Berkaitan:

Zainal Mohamed berkata, pihaknya turut menerima dua lagi laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Jelasnya, pengadu dan rakannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

"Suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan polis," katanya.