X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Lelaki melecur, rumah kedai terbakar

Mohamad Hazman dan ibunya, Roslina hanya mampu melihat keadaan rumah kedai mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Gerong, Tumpat pada Jumaat. Gambar kecil: Keadaan Mohd Azmi yang melecur kira-kira 60 peratus dan kini sedang menerima rawatan lanjut di HRPZ II, Kota Bharu.
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki melecur semasa cuba menyelamatkan harta benda miliknya daripada musnah dalam kebakaran rumah kedai di Kampung Gerong, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Mohd Azmi Deraman, 53, melecur kira-kira 60 peratus dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Susulan kejadian itu, Mohd Azmi dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila semua barangan gagal diselamatkan apabila api marak dengan begitu cepat.

Salah seorang anak mangsa, Mohamad Hazman Mohd Azmi, 21, berkata, semasa kejadian dia dan keluarga sedang berehat selepas makan malam.

"Saya yang berada di dalam bilik di tingkat atas dikejutkan dengan hon kereta dan teriakan orang ramai yang memaklumkan kedai terbakar.

"Saya terus turun ke bawah dan memaklumkan perkara itu kepada keluarga.

"Pada awalnya ayah berjaya mengawal api menggunakan alat pemadam, bagaimanapun tong minyak terpakai yang berada di dalam bengkel motosikal meletup secara tiba-tiba menyebabkan api kembali merebak," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Menurutnya, ayah kemudian terus berusaha membawa keluar barang-barang mudah terbakar bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Katanya, semasa usaha membawa keluar barangan tersebut ayahnya mengalami kecederaan.

Ahmad (kanan) turun padang menyampaikan sumbangan awal berjumlah RM2,000 dari Tabung Serambi Mekah kepada Roslina di Kampung Gerong, Tumpat pada Sabtu.
Ahmad (kanan) turun padang menyampaikan sumbangan awal berjumlah RM2,000 dari Tabung Serambi Mekah kepada Roslina di Kampung Gerong, Tumpat pada Sabtu.

Mohamad Hazman dan ibunya, Roslina Mat Zain, 47, serta keluarga sebelum itu menerima kunjungan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang turun padang menyampaikan sumbangan awal berjumlah RM2,000 dari Tabung Serambi Mekah kepada mangsa.

"Buat sementara waktu, kami menumpang di rumah nenek dekat Kampung Hutan Jambu," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.05 malam.

Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat dan memadamkan kebakaran.

"Sejurus tiba kami dapati premis berkenaan telah terbakar sebanyak 80 peratus," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!