Tahanan lolos diburu polis

Tahanan warga Indonesia meloloskan diri.
Tahanan warga Indonesia meloloskan diri.
A
A
A

ALOR GAJAH - Polis sedang giat memburu seorang lelaki warga Indonesia yang bertindak meloloskan diri dari tahanan di depot Imigresen Machap Umboo di, sini, semalam.

Ketua Polis Daerah (IPD) Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek Muhammad Reza Pahlevi ditempatkan di depot terbabit untuk tujuan perintah pengusiran.

Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek dipercayai melarikan diri dari tahanan terbabit sekitar jam 9.30 pagi hingga 10.25 pagi sebelum pegawai kanan Jabatan Imigresen membuat laporan polis lebih kurang jam5.50 petang selepas pihak terbabit cuba mencari suspek namun gagal.

"Difahamkan Suspek mengadu sesak nafas sebelum diasingkan ke unit rawatan dan kesihatan bagi memudahkan pegawai perubatan memeriksanya. Selepas menerima rawatan, suspek didapati tidak mempunyai simptom sakit dan diserahkan kepada pegawai kanan imigresen semula," kata katanya.

Bagaimanapun menurutnya, tidak lama selepas itu, kedengaran jeritan pegawai wanita mengatakan suspek melarikan diri dari tahanan dan pemeriksaan dalam bilik serah terima mendapati suspek telah tiada.

Katanya, suspek dipercayai meloloskan diri melalui tingkap kecil di bahagian bilik rawatan dan kesihatan itu dengan memanjat meja dan keluar melalui lubang angin bilik terbabit dan tangan tidak bergari serta lari ke arah kebun kelapa sawit berdekatan.

"Suspek sepatutnya dihantar ke IPD Seri Alam, Johor untuk berdepan pertuduhan di Mahkamah bagi kesalahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 kanun yang sama.

"Lelaki itu juga didapati mempunyai rekod samun hotel bajet menggunakan parang selain membabitkan kes positif dadah, dipercayai mahu menuju ke Muar atau Pasir Gudang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebaik keluar dari depot tahanan, suspek dipercayai menahan kereta awam sebuah Perodua Kancil sebelum berhenti di satu lokasi lain dan menahan teksi untuk menghantarnya ke Muar atau Pasir Gudang.

"Namun pemandu teksi meragui suspek tiada wang, dan hanya menghantarnya ke hentian bas Melaka Sentral dan kes disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan," katanya.