KPDNHEP Perak pantau penjualan pelitup muka tiruan

KPDNHEP Perak memantau penjualan pelitup muka tiruan termasuk secara dalam talian bagi memastikan tidak berleluasa di negeri ini. Gambar hiasan
KPDNHEP Perak memantau penjualan pelitup muka tiruan termasuk secara dalam talian bagi memastikan tidak berleluasa di negeri ini. Gambar hiasan
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak memantau penjualan pelitup muka tiruan termasuk secara dalam talian bagi memastikan tidak berleluasa di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, langkah itu perlu bagi membendung penjualan pelitup muka tiruan yang boleh membahayakan pemakainya kerana boleh terdedah terhadap penularan Covid-19.

“Orang ramai boleh membuat aduan kepada pejabat KPDNHEP berhampiran untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nam Hua di Tanjung Piandang di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar semalam mengenai pendedahan penjualan pelitup muka tiruan berkualiti rendah di pasaran.

Abdul Yunus berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai penjualan pelitup muka tiruan di negeri ini.

Difahamkan, pelitup muka berkualiti rendah itu mengakibatkan pengguna mengalami kesukaran bernafas, gelung telinga terlalu kasar dan menyebabkan wajah ditumbuhi jerawat selepas menggunakannya.

Sementara itu, mengenai program MOVAK berkenaan, Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau berkata, seramai 300 warga emas, orang kurang upaya serta anggota bomba sukarela menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 pada Sabtu.

Beliau berkata, program yang dimulakan sejak awal bulan ini di kawasan Bota dan dijangka berakhir hujung bulan ini bertujuan menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi membolehkan 80 peratus rakyat negara ini divaksinasi. - Bernama

Artikel Berkaitan: