2,347 pelajar pendidikan khas terima manfaat BPP Covid-19

Abd Rahim menyampaikan bantuan BPP Covid -19 kepada ibubapa pelajar pendidikan khas secara pandu lalu di Pejabat DUN Lepar di sini pada Sabtu.
Abd Rahim menyampaikan bantuan BPP Covid -19 kepada ibubapa pelajar pendidikan khas secara pandu lalu di Pejabat DUN Lepar di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 2,347 pelajar pendidikan khas yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah Kuantan menerima manfaat Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 bersasar yang disediakan kerajaan Pahang bagi membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, melalui bantuan itu, penerima akan menerima bantuan tunai RM250 setiap seorang membabitkan jumlah peruntukkan lebih RM580,000.

Menurutnya, bantuan sama turut dihulurkan kepada golongan itu di daerah lain bagi meringankan beban pelajar dan ibu bapa mereka yang terkesan.

"Ia juga sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib pelbagai golongan rakyat di negeri ini yang rata-rata turut terkesan ekoran langkah kawalan pergerakan yang dilaksanakan.

"BPP Covid-19 yang diumumkan kerajaan negeri turut memanfaatkan 4,600 penerima dalam kalangan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan sumbangan BPP Covid-19 kepada 20 penerima dalam kalangan pelajar pendidikan khas di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Abd Rahim berkata, bantuan tersebut turut disalurkan kepada pemandu teksi, peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), badan bukan kerajaan (NGO) dan juga pelajar.

"Pada masa sama, kerajaan negeri juga turut mengagihkan sumbangan komputer riba kepada pelajar calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan 787 penerima.

Artikel Berkaitan:

"Jadi boleh dikatakan hampir semua golongan yang layak telah menerima bantuan tersebut," jelasnya.

Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi Standard (SOP) Covid-19 bagi mengelak berlaku penularan jangkitan virus itu dengan kes harian yang dilaporkan semakin membimbangkan ketika ini.

"Lebih-lebih lagi penularan varian Delta dengan impak lebih serius turut dilaporkan berlaku di negeri ini.

"Ketika ini sasaran 40 peratus penduduk menerima vaksin lengkap masih jauh untuk membolehkan kita beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa tiga. Sehingga semalam jumlah penerima dos pertama sebanyak 47 peratus manakala penerima dos kedua hanya 24.3 peratus sahaja," katanya.