'Proses pemulihan negara terganggu jika menteri letak jawatan'

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pas berpendapat bahawa proses pemulihan negara melawan pandemik Covid-19 akan terganggu sekiranya berlaku peletakan jawatan antara menteri yang mempunyai tanggungjawab penting dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sokongan ahli Parlimen UMNO kepada kerajaan telah membuktikan ia adalah fokus utama dalam menstabilkan politik dan ekonomi di samping memerangi Covid-19, mencapai imuniti berkelompok serta mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Pas merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Parlimen UMNO yang kekal memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita sedia maklum sekurang-kurangnya tiga orang ahli Parlimen UMNO iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sedang menggalas tugasan penting dalam PPN.

“Sekiranya berlaku peletakan jawatan, maka proses pemulihan negara akan terganggu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya meminta agar ahli-ahli Parlimen yang lain turut bersama dan bersatu padu mendukung usaha PPN.

Ini kerana, katanya, keadaan sekarang bukanlah masa untuk berpecah belah.

Pada Jumaat, seramai 31 ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri pada satu sidang akhbar khas berkata, kesemua ahli Parlimen tersenarai turut bersetuju agar usul percaya dibentang dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat, September ini.

Bagaimanapun, pada hari sama, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi serta-merta.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, peletakan jawatan berkenaan dibuat berdasarkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos lalu.