Ringgit diniagakan pada paras semasa minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan pada paras semasa berbanding dolar AS minggu depan, menjelang pengumuman data KDNK Malaysia bagi suku kedua 2021 pada 13 Ogos. Gambar hiasan
Ringgit dijangka diniagakan pada paras semasa berbanding dolar AS minggu depan, menjelang pengumuman data KDNK Malaysia bagi suku kedua 2021 pada 13 Ogos. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka diniagakan pada paras semasa berbanding dolar AS minggu depan, menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2021 pada 13 Ogos.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pergerakan ringgit dijangka mengalami cabaran minggu depan, dengan diniagakan dalam julat RM4.22 hingga RM4.23 berbanding dolar AS.

“Semua tumpuan akan terarah kepada laporan KDNK suku kedua 2021.

Sudah pasti pelabur mahu menilai trajektori pertumbuhan ekonomi Malaysia terutama setelah sekatan pergerakan penuh dilaksanakan pada tempoh itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata, susulan tiada tanda-tanda kes Covid-19 akan berkurangan, mata wang tempatan akan terus menghadapi tekanan.

Malaysia merekodkan 20,889 kes Covid-19 baharu pada Jumaat, angka tertinggi sejak pandemik itu mula melanda negara pada tahun lepas.

Bagi dagangan yang baru berakhir, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya minggu ini, sejajar dengan peningkatan harga minyak mentah Brent.

Berasaskan mingguan, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada 4.2180/2205 daripada 4.2190/2220 minggu lepas.

Artikel Berkaitan:

Ringgit juga diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.1219/1240 daripada 3.1189/1216 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas namun meningkat berbanding dengan pound Britain kepada 5.8685/8720 daripada 5.8935/8977.

Ringgit turut kukuh berbanding euro kepada 4.9815/9844 daripada 5.0181/0216 dan tinggi berbanding yen kepada 3.8415/8442 daripada 3.8502/8529 minggu lepas. - Bernama