X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

PPN atasi kemelut pandemik

Bantuan yang disediakan kerajaan mampu membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19.
A
A

SHAH ALAM – Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu membawa misi yang tepat pada masanya dalam usaha kerajaan membantu rakyat dan sektor perniagaan beralih keluar daripada krisis pandemik Covid-19.

PPN disusuli dengan pelancaran Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion.

Lebih menarik lagi, pelan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) itu menyediakan bantuan menyeluruh kepada rakyat tanpa mengira kelompok atau golongan dengan harapan, tiada yang tertinggal untuk dibela.

Kewujudan PPN sebagai 'roadmap' membolehkan perancangan dan strategi yang lebih tersusun dalam mendepani pandemik Covid-19.

PPN mempunyai hala tuju jelas untuk negara keluar daripada masalah pandemik ini dengan peralihan secara berfasa merangkumi empat peringkat.

Selain itu, nilai ambang ditetapkan dengan tiga kriteria utama yang perlu dipenuhi, iaitu purata kes jangkitan Covid-19 harian, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan kadar vaksinasi.

Pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan fasa pertama iaitu pelaksanaan PKP menyeluruh yang sedang dilaksanakan ketika ini dalam keadaan bilangan kes Covid-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang rendah.

Peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua adalah selepas purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes atau, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal dan 10 peratus populasi sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Selanjutnya, menerusi fasa kedua, aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat manakala aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis.

Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih ditutup.

Senarai positif daripada fasa pertama akan diperluaskan dalam fasa kedua dengan menambahkan beberapa sektor, tetapi aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Bagi fasa ketiga pula, ia membabitkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif iaitu semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali yang berisiko tinggi.

Peralihan kepada fasa ketiga berlaku apabila negara berjaya mencapai nilai ambang iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dan 40 peratus populasi negara sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Seterusnya, fasa keempat akan dilaksanakan jika negara berjaya mencapai nilai ambang purata kes harian menurun di bawah 500 kes, sistem kesihatan awam berada pada paras selamat termasuk kadar penggunaan katil ICU mencukupi serta 60 peratus populasi menerima dua dos suntikan vaksin.

Di sebalik pelbagai perancangan dan strategi untuk peralihan fasa pandemik itu, kepentingan rakyat tetap menjadi keutamaan dengan pelbagai pakej rangsangan ekonomi telah diperkenalkan sejak tahun lalu.

Peruntukan

Sepanjang tahun lalu, empat pakej rangsangan membabitkan suntikan fiskal kerajaan berjumlah RM38 bilion telah diwujudkan.

Ia melibatkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin).

Bagi tahun ini pula, unjuran perbelanjaan adalah sebanyak RM45 bilion dengan suntikan fiskal diperuntukkan untuk empat lagi pakej rangsangan ekonomi termasuk Pemulih, sebanyak RM26.8 bilion.

Tiga pakej lain yang diperkenalkan tahun ini membabitkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi tambahan (Pemerkasa Plus).

Tidak terhenti di situ sahaja, bantuan PPN diteruskan menerusi Agenda Prihatin Rakyat di mana sejumlah RM97.9 bilion akan disalurkan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk moratorium berjumlah RM60 bilion, i-Citra Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) RM30 bilion, bantuan tunai tambahan RM5.6 bilion dan subsidi tambahan RM2.3 bilion.

Bagi menyokong kelangsungan perniagaan pula, keseluruhan RM51.1 bilion diperuntukkan di mana RM20 bilion untuk penambahbaikan moratorium, jaminan pembiayaan RM20 bilion, pinjaman baharu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) RM4.4 bilion, subsidi upah dan insentif penggajian RM4.2 bilion, geran bantuan serta sokongan lain masing-masing berjumlah RM1 bilion dan RM1.5 bilion serta RM1 bilion untuk meningkatkan usaha vaksinasi.

Harapan

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri menyifatkan kewujudan PPN wajar dan tepat pada masanya.

Mohamad Fazli
Mohamad Fazli

Jelasnya, ia secara tidak langsung dapat memberi 'sinar' kepada usaha kerajaan untuk mengukuhkan lagi ekonomi negara.

"Dengan adanya pelan hala tuju yang jelas sebegini ia akan memberi lebih keyakinan kepada ramai pihak khususnya pelabur.

"Jadi, saya rasa apa yang dilaksanakan kerajaan ini sangat wajar dan tepat pada masanya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, PPN mampu membantu semua pihak khususnya mereka yang terlibat dalam sektor ekonomi, merancang hala tuju perniagaan masing-masing.

Tanpa pakej-pakej rangsangan ekonomi atau bantuan, pastinya ia satu kesukaran buat rakyat meneruskan kelangsungan hidup.

“Apa yang rakyat mahukan ketika ini adalah tempat bersandar atau lebih tepat lagi bantuan kewangan dan keperluan harian.

"PPN dilihat mencakupi semua aspek termasuk bantuan kepada rakyat dan ini pastinya akan menolong memulihkan ekonomi negara," katanya.

Fakta juga menunjukkan pemberian pakej rangsangan ekonomi telah memperlihatkan perkembangan positif kepada pertumbuhan ekonomi di kebanyakan negeri.

Oleh itu, dalam keadaan yang masih mencabar ketika ini, tentunya setiap bantuan yang diterima begitu bermakna kepada seluruh rakyat.

Tanpa mengira latar belakang, Belanjawan 2021, Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Plus dan terkini Pemulih akan membantu memulihkan kesejahteraan keluarga, perniagaan dan komuniti sekeliling.

Untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana rakyat boleh mendapatkan manfaat dan pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan, sila layari:https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/ dan https://pelanpemulihannegara.gov.my/mobile/index.html

INFO GRAFIK

BANTUAN SEPANJANG 2020 - 2021

• 7 pakej bantuan

• Peruntukan RM380 bilion

• Manfaat 20 juta rakyat

• ManfaaT 2 4 juta perniagaan

PELAN PEMULIH

• RM150 bilion

• Menyokong peralihan ke Fasa 2, 3 &4

SUNTIKAN FISKAL 2020-2021

Perbelanjaan 2020: RM38 bilion

Baki suntikan fiskal RM17 bilion dibawa ke 2021

Unjuran Perbelanjaan 2021: RM45 bilion

Perbelanjaan terkini: RM18 bilion


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!