X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

Jerman, Perancis, Israel dan Chile teruskan vaksin penggalak

WHO gesa tangguhkan program suntikan dos ketiga sehingga akhir September depan.
A
A

PARIS - Jerman, Perancis, Israel dan Chile akan tetap meneruskan program suntikan penggalak (vaccine booster) Covid-19 walaupun berdepan gesaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya menangguhkan kempen itu sehingga lebih ramai populasi negara antarabangsa menerima dos standard.

Ketua agensi tersebut, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus meminta program suntikan dos ketiga itu ditunda sehingga akhir September depan dan mendakwa sikap mementingkan diri untuk terus memonopoli bekalan vaksin global sememangnya tidak boleh diterima.

"Saya faham tentang kebimbangan yang semakin meningkat hingga memaksa pemerintah mengambil langkah terburu-buru ini untuk melindungi populasi mereka daripada ancaman varian Delta.

"Tetapi, kami tidak boleh biarkan negara yang sudah menguasai bekalan vaksin Covid-19 terus bertindak sedemikian hingga menyebabkan pengagihan secara tidak adil," ujarnya.

Jerman bagaimanapun menolak tuduhan itu dan mendakwa ia telah mendermakan kira-kira 30 juta dos vaksin.

"Kami mahu memberikan suntikan dos ketiga kepada golongan berisiko tinggi dan pada masa yang sama menyokong program inokulasi global," menurut Kementerian Kesihatan di Berlin.

Difahamkan, kempen imunisasi dos ketiga itu dilancarkan selepas Pfizer mendakwa suntikan penggalak mungkin diperlukan berikutan tahap antibodi yang semakin menurun selepas tempoh enam bulan pemberian dos lengkap.

Pada Khamis, Chile mengumumkan akan mula memberikan suntikan dos ketiga vaksin Sinovac selepas kajian menunjukkan keberkesanan dan penurunan kes beberapa bulan selepas pemberian dos penuh.

Sebelum ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengesahkan program suntikan penggalak ke atas warga emas dan golongan berisiko akan dilancarkan bermula bulan depan.

Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett pula terus menggesa warga emas berusia 60 tahun ke atas mendapatkan suntikan dos ketiga selepas Tel Aviv menjadi perintis kempen itu pada bulan lalu.

Beliau mendakwa program tersebut kononnya dapat membantu kajian tentang keberkesanan pemberian suntikan penggalak. - Agensi

Info

>49 peratus populasi di Perancis sudah mendapatkan dos penuh.

>53 peratus penduduk di Jerman telah menerima dos lengkap.

>Lebih 60 peratus populasi di Chile sudah menerima dos penuh.

>Hampir 60 peratus penduduk di Israel sudah mendapatkan dos lengkap. Sehingga Rabu, lebih 20 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas sudah menerima dos ketiga.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!