Sarawak catat 209 kes Macau Scam tahun lalu

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Sebanyak 209 kes Macau Scam dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Disember 2018 melibatkan jumlah kerugian melebihi RM10.3 juta di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 26 Februari 2019 pula, 15 kes Macau Scam dilaporkan melibatkan jumlah kerugian melebihi RM143,067.62.

Beliau berkata sebanyak 49 tangkapan telah dibuat pada tahun 2018 dan 15 tangkapan pada tahun 2019.

"Pihak polis masih menjalankan risikan untuk membanteras dan menggempur sindiket Macau Scam," katanya.

Kes terbaru Macau Scam dilaporkan berlaku di negeri ini ialah pada 15 Februari, diikuti di daerah Sarikei pada 26 Februari.

Mustafa menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak-pihak tertentu yang menyamar sebagai pegawai atau anggota polis dan lain-lain jabatan/agensi kerajaan.

“Mereka akan mengatakan anda terlibat dengan saman tertunggak, kes langgar lari, kes hutang GST, kes jenayah pengubahan wang haram, kes tuduhan mendapatkan duit daripada orang awam, nama digunakan untuk pendaftaran sesebuah syarikat dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata pihak polis atau agensi kerajaan tidak akan meminta orang ramai untuk membayar wang ke dalam mana-mana akaun peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Jangan panik dan mudah percaya dengan panggilan daripada individu yang tidak dikenali. Beritahu anggota keluarga atau rakan-rakan terdekat mengenai panggilan telefon yang mencurigakan,” tambah beliau lagi.- Bernama